Kilang, Kuari dan NGO bina jalan SK Damak
Kilang, Kuari dan NGO bina jalan SK Damak
JERANTUT – Kilang Sawit Felcra Jaya Putra, Syarikat Kuari Sungai Jan dan Yayasan Raja Shamri (YRS) berkerjasama membina jalan alternatif ke Sekolah Kebangsaan Damak demi memudahkan murid sekolah tersebut meneruskan pembelajaran seperti biasa.
Jalan masuk utama yang dihubungi dengan jambatan ke sekolah itu tidak stabil akibat hujan lebat dan banjir yang berlaku awal tahun ini yang menghakis tebing bawah jambatan itu yang mulai runtuh.
Syarikat kilang sawit dan kuari menghulurkan bantuan berbentuk material dan YRS turut mengambil inisiatif dengan menyumbang dana untuk digunakan dalam pembinaan jalan alternatif itu sepanjang kira-kira 100 meter dan lebar 3 meter.
Malah terdapat beberapa pihak lain termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu bergotong royong membina jalan alternatif.
Jalan alternatif untuk warga sekolah itu dibina memudahkan pembelajaran bersemuka dijalankan kerana sebelum ini sesi persekolahan terpaksa dilaksanakan secara Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PDPR) berkaitan masalah jalan tersebut.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Damak, Shaiful Anuar Osman berkata, pihak PIBG dan ibubapa sangat berterima kasih kepada pihak berkaitan yang membantu membina jalan itu untuk memudahkan murid mengikut pelajaran serta guru dan kakitangan boleh meneruskan tugas seperti biasa.
“Jambatan jalan masuk utama sangat merbahaya dan boleh runtuh bila-bila masa, sehingga pihak sekolah mengambil pendekatan belajar dari rumah untuk kira-kira 350 orang murid.
“Pembinaan jalan itu mengambil 5 hari sahaja dan jentera dan perbelanjaan ditanggung bersama pihak berkaitan,”katanya.-SAHIH.