Pekerja swasta rayu bantuan untuk anak terlantar teruk akibat kemalangan
Pekerja swasta rayu bantuan untuk anak terlantar teruk akibat kemalangan
JERANTUT – Pekerja swasta sebuah sekolah merayu untuk mendapatkan bantuan bagi mengubati anaknya yang menderita akibat kecederaan dalam kepala, patah pergelangan paha, kaki kiri serta tangan kiri serta tidak mampu diangkat akibat kemalangan jalan raya yang dialaminya kira-kira dua bulan lalu.
Rofidah Khamis, 45, yang tinggal di Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini, sering berulang alik ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk membawa anaknya, Muhammad Syazwan turut mengalami kecederaan teruk dan sehingga ini masih berbalut simen dan dibantu pemasangan besi.
Katanya, anak bongsunya itu terbabit dalam kemalangan jalan raya apabila dilanggar sebuah kereta ketika keluar daripada simpang berdekatan Felda tersebut pada 26 Januari lalu sehingga menyebabkan kecederaan parah.
“Kecederaan teruk yang dialami anak saya, iaitu retak di bahagian kepala apabila doktor membuang sebahagian tempurung kepala sehingga memberikan kesan sarafnya menyebabkan anak saya sering meracau dan menjerit.
“Ekoran kejadian ini, dia dirawat salama sebulan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hosas), Temerloh termasuk ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga minggu,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini hari ini.
Ibu kepada tiga orang anak berusia 23, 18 dan 15 tahun itu berkata, dia dan suaminya, Muhamad Hairi Mohamed, 47, kini masih berulang alik ke Hosas, Temerloh membawa anaknya untuk pemeriksaan dan rawatan doktor pakar sambil berharap cepat sembuh supaya dapat bersekolah semula.
“Hal yang paling merisaukan kami iaitu, Muhammad Syazwan kerap menjerit dan meronta tidak kira masa kemungkinan berpunca kecederaan bahagian dalam kepalanya, dalam tempoh ini, anak saya hanya cuma minum susu Nutrien dan Myotein yang melibatkan belanja sebanyak RM500 sebulan.
“Selain itu, peralatan keperluan kebersihan diri juga melibatkan RM600 sebulan dalam tempoh yang sama serta perkhidmatan ambulans swasta berulang alik ke Hoshas, Temerloh dengan kadar sewa sebanyak RM350 dan kadang-kadang sehingga tiga kali sebulan,” katanya.
Katanya, dia tidak mampu membiayai perbelanjaan berkenaan kerana gaji sebagai pekerja swasta kecil cuma untuk keperluan dapur sahaja malahan pekerjaan suami sebagai mekanik di sini juga memperoleh pendapatan yang tidak menentu.
Selanjutnya, Rofidah berkata, tempoh anaknya untuk sembuh memakan masa yang panjang sambil berharap ada dermawan dan orang ramai yang dapat membantu kesusahannya.
Orang ramai yang ingin beramal jariah membantu Muhammad Syazwan bolehlah menghubungi ibunya, Rofidah Khamis menerusi talian 013 9923994 atau terus ke akaun Maybank bernombor 162272838444.-SAHIH.