Bas bawa 22 jemaah lepas tunai umrah kemalangan
Bas bawa 22 jemaah lepas tunai umrah kemalangan
KUALA KRAI – Seramai 22 jemaah yang baru pulang menunaikan umrah di Tanah Suci berdepan detik cemas apabila bas persiaran yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di Manik Urai di sini semalam.
Semua 11 jemaah lelaki bersama 11 lagi jemaah wanita termasuk pemandu bas berusia 37 tahun dan kelindannya berusia 21 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Muhammad Rizwan Arrafee Parsimin berkata, difahamkan kesemua jemaah itu menaiki bas berkenaan dan sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang menuju ke Kuala Krai.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, bas tersebut dipercayai terbabas ke dalam longkang di tepi jalan akibat jalan licin semasa cuaca hujan.
“Kita menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 6.47 pagi sebelum anggota bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira 30 minit kemudian.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, kita dapati kesemua penumpang sudah keluar daripada bas.
Seramai 22 penumpang, pemandu dan kelindan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
SUMBER – KOSMO! ONLINE
Gambar Media sosial