Kerajaan Pahang sumbang RM30,000 untuk bawa balik warga Malaysia di Korea Selatan
Kerajaan Pahang sumbang RM30,000 untuk bawa balik warga Malaysia di Korea Selatan
Foto atas: Datuk Nazri Ngah (2 dari kanan) menyampaikan sumbangan kerajaan negeri Pahang sebanyak RM30,000 kepada wakil keluarga itu, hari ini.
JERANTUT – Kerajaan negeri Pahang memberi sumbangan sebanyak RM30,000 untuk pengurusan membawa balik Kamarulzaman Mohd Fauzi @Jazuli, 50, yang menerima rawatan selama 34 hari di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Cheongju, Korea Selatan.
Dia yang koma dan mengalami strok di Korea Selatan telah dimaklumkan oleh isterinya Wan Hayati Wan Yaakub, 53, yang menetap di Kampung Batu Balai dekat sini bahawa suaminya sudah sedar.
Wan Hayati berkata, sepupu suaminya, Saloha Adlan, 27, yang berada di sana kerana bekerja memaklumkan suaminya kini sudah stabil dan pihak hospital membenarkan dibawa pulang dengan segera.
“Seluruh ahli keluarga sudah tidak sabar menanti kepulangan Kamarulzaman kerana dia dirawat di hospital berkenaan selama 34 hari termasuk 23 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Cheongju,” katanya di sini.
“Saya sekeluarga berterima kaish kepada kerajaan negeri yang menyumbang untuk pengurusan membawa pulang suami saya,” katanya.
Kamaruzaman yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang tisu di negara itu koma selepas muntah dan pengsan disebabkan pembuluh darah pecah selain terdapat darah beku di bahagian kepala di rumah sewanya.
Sementara itu, Saloha ketika dihubungi mengesahkan dia sedang berusaha untuk melengkapkan proses membawa pulang sepupunya ke tanah air.
“Saya sudah memperolehi surat kedutaan walaupun memakan sedikit masa dan baharu sahaja mendapat tiket penerbangan Korean Air sekiranya tidak ada masalah lain, Kamarulzaman dijangka pulang pada 2 Mac ini.
“Bagaimanapun, saya perlu membayar untuk tujuh tempat duduk dalam pesawat Korean Air dalam usaha membawanya pulang ke tanahair,” katanya.-SAHIH.