Remaja hilang di Bentong dijumpai di Kajang
Remaja hilang di Bentong dijumpai di Kajang
BENTONG – Remaja berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang di Bentong pada 10 Februari 2022 ditemui di Kajang, hari ini.
Remaja itu, Pavitra a/p Pogelselvan, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketari, Bentong ditemui di sebuah stesen bas bersama seorang lagi remaja yang berusia 17 tahun pada jam 3.30 pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah, Suprintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, sepasukan polis di sini bertindak segera pergi ke Kajang setelah menerima maklumat daripada orang ramai.
“Kita bergegas ke perhentian bas tersebut dan terus memantau dan kemudiannya membuat pemeriksaan ke atas kedua orang remaja perempuan warga negara tempatan itu yang masing-masing berusia 15 dan 17 tahun.
“Setelah membuat semakan kad pengenalan kedua orang remaja itu, salah seorang daripadanya merupakan remaja yang dilaporkan hilang pada 10 Februari 2022 lalu di SMK Ketari disahkan Pavitra a/p Pogelselven,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, siasatan awal polis mendapati Pavitra telah melarikan diri dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing dan menuju ke rumah rakannya di Kajang serta menumpang di situ hampir enam hari.
“Remaja ini telah dibawa pulang ke sini dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Bentong untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya.
“Saya berterima kasih kepada orang ramai yang sangat prihatin dengan menyalurkan maklumat kepada polis sehingga terjumpa semula remaja berkenaan,” katanya.
Mangsa tinggal bersama ibu saudaranya yang berusia 48 tahun hampir setahun lalu berikutan kedua ibu bapanya menetap di Kuala Lumpur.
Menurut laporan polis, ibu saudaranya telah menerima panggilan daripada bapa remaja tersebut memaklumkan seorang pemandu van lelaki berusia 60 tahun mendapati Pavitra tidak menaiki van selepas tamat waktu persekolahan pada hari Khamis.
Dalam pada itu,selanjutnya Zaiham menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengambil berat dan peka setiap tindak-tanduk dan pergerakan anak masing-masing.
“Bagi para pelajar pula dinasihatkan selalu berkomunikasi dan berbincang dengan ibu bapa atau penjaga sekiranya berdepan masalah dan elakkan daripada membuat keputusan yang salah sehingga menimbulkan kesulitan sendiri dan keluarga,” katanya.-SAHIH