Kraf tangan pupuk perpaduan, disertai warga emas beri banyak manfaat
KUALA LUMPUR – Aktiviti kraf tangan merealisasikan aspirasi Keluarga Malaysia yang dilaksanakan oleh Persatuan Warga Emas Pandan (PAWE) membabitkan kaum wanita Melayu dan Cina di Dewan Komuniti Taman Muda, Pandan, Selangor, baru-baru ini.
Aktiviti Kraf tangan yang dihasilkan daripada barangan terpakai seperti plastik, plastik beras, kertas surat khabar dan sebagainya berjaya menghasilkan pelbagai ciptaan bakul kertas, bekas letak pasu bunga, hiasan tudung saji dan sebagainya.
Pengerusi PAWE, Noor Aida Ahmad Zin, berkata selepas Perintah Kawalan Pergerakan Daerah (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan dia bersama-sama ahli jawatankuasa persatuan berkenaan mengadakan mesyuarat khas bagi melaksanakan aktiviti yang membabitkan warga emas dalam kawasan Parlimen Pandan.
Katanya, majoriti antara mereka bersetuju supaya mengadakan aktiviti kraf tangan berkenaan kerana bersesuaian dengan warga emas di samping memanfaatkan kemudahan dewan komuniti yang diwujudkan di situ.
“Sejak itu dewan berkenaan menjadi tumpuan warga emas wanita kaum Melayu dan Cina bagi menghadiri kelas membuat kraf tangan daripada barangan terbuang seminggu sekali pada hari yang ditentukan untuk berkongsi ilmu.
“Dalam kelas ini kami dalam kalangan suri rumah bukan setakat mempraktik apa yang diajar membuat kraf tangan malah mengambil kesempatan untuk berkenalan antara satu sama lain, bertanya khabar dan bertukar-tukar fikiran yang berjaya memupuk semangat perpaduan sekali gus bertepatan dengan aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya.
Katanya, apabila berkemahiran mereka boleh membuat kraf tangan itu di rumah sahaja bagi mengisi masa lapang dan boleh datang ke dewan untuk mengajar warga emas terutama yang baru mengikuti aktiviti berkenaan.Menurutnya, sehubungan itu persatuan berharap dapat menarik ramai dalam kalangan remaja serta kaum ibu pula untuk turut mengikuti aktiviti kraf tangan di dewan berkenaan sebagai usaha membantu mereka mencari sumber pendapatan bagi meringankan bebanan keluarga.
“Amat menggembirakan kami apabila aktiviti ini mendapat sokongan dan kerjasama daripada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sentiasa memberi nasihat supaya program kraf tangan diteruskan demi memupuk semangat perpaduan kaum,” katanya.
Sementara seorang warga emas terbabit, Zamila Majlis menganggap aktiviti kraf tangan di dewan berkenaan memberi banyak manfaat terutama kepada warga emas seperti dia bagi mengisi lapang dengan kerja yang berfaedah.
“Saya bukan setakat menjadi mahir dalam membuat kraf tangan seperti menghias tudung saji dengan corak daripada plastik riben malah berkenalan dengan warga emas dari kaum Cina untuk berkongsi ilmu,” katanya. -SAHIH.