Wanita cedera kanak-kanak di pusat jagaan ditahan
Wanita cedera kanak-kanak di pusat jagaan ditahan
BENTONG : Seorang wanita warganegara tempatan berusia 26 tahun disyaki mencederakan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah, Suprintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil siasatan polis, suspek dipercayai telah menarik telinga kiri mangsa sehingga menyebabkan kecederaan.
“Siasatan polis juga mendapati pusat jagaan kanak-kanak tempat wanita itu bekerja juga tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kanak-kanak itu telah dihantar ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan selepas kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, suspek ditahan reman sehingga 14 Februari dan akan disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Sekiranya disabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai di daerah ini perlu memastikan anak-anak dihantar ke pusat jagaan yang berdaftar di bawah kelulusan JKM bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini seperti penderaan dan sebagainya,” katanya.