‘Rider’ terpaksa panjat pagar, elak bungkusan hilang
‘Rider’ terpaksa panjat pagar, elak bungkusan hilang
Foto atas : Penghantar barang terpaksa memanjat pagar untuk hantar barang ke dalam kawasan rumah tersaebut- tangkap layar media sosial
PETALING JAYA – Tindakan seorang penghantar barang yang terpaksa memanjat pagar rumah pelanggannya bagi mengelakkan bungkusan yang dihantar hilang jika dibiarkan di atas tembok pagar.
Menerusi perkongsian video oleh Amri Saari di media sosial, dia memaklumkan pekerja tersebut telah menunggu hampir 30 minit di luar pagar sambil memanggil pelanggan di dalam rumah, namun tuan rumah masih tidak munculkan diri.
Kemudian, lelaki itu meletakkan bungkusan yang dihantar di atas tembok pagar sebelum bertindak memasuki kawasan rumah agar barang tersebut diletakkan di tempat yang lebih selamat.
Menurut pemilik rakaman tersebut, dia memberitahu bahawa tuan empunya barang ada di dalam rumah ketika lelaki itu datang, tetapi tidak menyedari kehadirannya.
Sementara itu, rata-rata pengguna media sosial memuji kegigihan penghantar barang tersebut dan menasihatkan orang ramai agar lebih peka sekiranya barangan yang dibeli secara dalam talian telah siap untuk dihantar ke rumah.
“Jangan biarkan ‘rider’ tunggu lama, kalau dah buat pesanan kena la peka kalau barang hampir sampai ke rumah, mereka pun nak kejar hantar pesanan yang lain,” kata Apeace.
“Tuan rumah tolong lebih bertanggungjawab bila ada orang nak hantar barang, jangan susahkan orang lain, bila barang hilang akan salahkan pihak penghantar barang juga,” ujar Siti Rabiatul.
Dalam pada itu, ada pengguna yang beranggapan perkara yang dilakukan penghantar barang itu salah kerana memasuki kawasan rumah pelanggan tanpa kebenaran.
“Sepatutnya, biarkan sahaja atas tembok pagar, dan ambil gambar sebagai bukti barangan telah selamat dihantar pada alamat yang betul, tak perlu panjat dan masuk sampai ke dalam sekiranya tidak disuruh,” kata Fahmi.
SUMBER : K! ONLINE