JPKK Jorak Elahi santun masyarakat sambut Tahun Baru Cina
JPKK Jorak Elahi santun masyarakat sambut Tahun Baru Cina
BATU PAHAT – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jorak Elahi, Batu Pahat, Johor menyantuni keluarga kaum Cina yang menyambut Tahun Baharu Cina tahun ini.
Usaha itu sebagai merealisasikan aspirasi Keluarga Malaysia ke arah memupuk dan menyuburkan semangat perpaduan serta kesejahteraan hidup.
Pengerusinya, Hamidi Mad Tap, berkata bersama ahli jawatankuasa JPKK, mereka mengagihkan 52 bungkusan cenderahati dan limau kepada jiran tetangga kaum Cina di sekitar Kampung Parit Jorak Elahi untuk berkongsi kegembiraan serta menceriakan sambutan Tahun Baharu Cina.
Katanya, langkah itu dilaksanakan sebagai menyahut saranan pemimpin negara di samping menghargai semangat kerjasama dan sikap toleransi pelbagai kaum termasuk masyarakat Cina yang sekian lama menetap di kampung berkenaan.
“Dalam tempoh ini kami boleh hidup secara aman tanpa sebarang syak wasangka malah boleh bergotong-royong dalam aktiviti kemasyarakatan setiap kali dianjurkan dan pada kesempatan bertemu digunakan untuk mengeratkan hubungan perpaduan.
“Saya amat terharu apabila ada majlis keramaian seperti kenduri kahwin orang Melayu mereka yang berbangsa Cina umpamanya tidak segan untuk turut serta membantu apabila mengetahui perkara itu diadakan secara bergotong-royong,” katanya yang juga Ketua Kampung Parit Jorak Elahi.
Hamidi berkata, walaupun sumbangan itu tidak seberapa namun diharap dapat meringankan bebanan sesetengah keluarga kaum itu yang turut terkesan dengan pandemik Covid-19 serta bencana seperti banjir baru-baru ini.
Tambahnya, paling penting kegembiraan mereka menyambut Tahun Baharu Cina akan turut terasa kepada masyarakat lain yang berasa bangga apabila dapat berganding bahu dengan JPKK menghulurkan sumbangan menyediakan cenderahati dan limau itu.
“Sebagai ketua kampung saya amat berharap hubungan serta semangat perpaduan yang terjalin dengan baik selama ini dan menjadi contoh kepada penduduk di kampung sekitar untuk hidup dengan harmoni bersama-sama pelbagai kaum dan bangsa,” katanya. -SAHIH.