Gajah masuk kebun, peserta TSB kecewa
Gajah masuk kebun, peserta TSB kecewa
Foto atas: Pondok di kebun getah hampir runtuh disondol haiwan tersebut
JERANTUT: Tujuh belas peserta Taman Semula Berkelompok (TSB) kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling terkejut kebun mereka dimasuki gajah liar dan memusnahkan pokok getah, kejadian itu dipercayai berlaku malam tadi.
Peserta TSB itu, Ikmal bin Razali, 28, berkata, dia terkejut apabila mula masuk kebun getah pagi itu dan melihat banyak pokok getah patah dan tumbang dimusnahkan oleh gajah liar.
“Kira-kira 1,500 anak pokok getah milik peserta TSB dirosakkan oleh kawanan gajah liar itu yang masih belum dapat ditentukan jumlahnya.
“Sebelum ini kawanan gajah liar sering kelihatan berhampiran dengan jalan raya menuju ke kampung itu tetapi tidak pernah memasuki kawasan kebun getah penduduk,” katanya.
Katanya, kejadian itu disedari oleh penduduk apabila beberapa orang peserta TSB kampung Kuala Sat memulakan rutin harian mereka pagi ini.
“Beberapa orang peserta TSB lain turut terkejut apabila mendapati tanaman mereka yang berusia hampir dua tahun itu dimusnahkan oleh sekawan gajah liar yang dipercayai memasuki kawasan itu malam tadi.
” Selain itu , gajah liar berkenaan turut memusnahkan pagar elektrik yang menggunakan tenaga solar sebelum memasuki dan memusnahkan tanaman anak getah tersebut,” katanya.
Beliau berkata, penduduk kampung kecewa apabila mendapati anak getah yang sedang membesar itu dimusnahkan oleh haiwan tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Sat, Abdul Jabar Dollah, 58, berkata, pihaknya telah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Peidungan Hidupan Liar dan Taman Negara ( PERHILITAN) Taman Negara Kuala Tahan untuk tindakan selanjutnya.-SAHIH.