Lipis banjir, polis selamatkan enam orang penduduk yang terperangkap banjir
Lipis banjir, polis selamatkan enam orang penduduk yang terperangkap banjir
LIPIS : Enam orang penduduk yang terkandas di rumah mereka sejak malam semalam berikutan banjir sudah melimpah masuk ke kawasan kampung seterusnya menenggelami jalan raya di Kampung Lubuk Kulit diselamatkan oleh anggota polis, dekat sini, hari ini.
Beberapa orang anggota polis yang bertugas dalam operasi menyelamat ini menggunakan sebuah bot gentian kaca untuk memindahkan penduduk berkenaan.
Ketua Polis Lipis, Suprintenden Azli Mohd. Noor berkata, polis menerima panggilan mengenai penduduk berkenaan yang terperangkap tidak dapat keluar ke tempat selamat kerana jalan raya dari bandar Kuala Lipis berdekatan Kampung Lubuk Kulit sudah ditenggelami banjir mulai awal pagi hari ini.
“Polis dimaklumkan kawasan kediaman penduduk berkenaan sudah mula dinaiki air dan tindakan pantas menyelamat terpaksa dilakukan ke atas mereka.
“Penduduk terbabit selamat dibawa keluar pada jam 10.30 pagi hari ini, manakala urusan penempatan di pusat pemindahan sementara (PPS) dilakukan oleh pihak berkuasa pengurusan kampung,” katanya.
Katanya, mangsa yang dibawa keluar, iaitu terdiri daripada seorang warga emas lelaki, dua orang wanita, dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.
Sementara itu, Azli berkata, sehingga petang ini sebanyak empat PPS telah dibuka di daerah ini melibatkan pemindahan seramai 192 orang mangsa.
“Paras air di enam tempat sukatan banjir sungai utama telah melepasi tahap bahaya dan hebahan sudahpun dilakukan kepada penduduk yang tinggal di pesisir Sungai Jelai di sini.
“Kereta peronda polis bersama Jabatan Penerangan mula membuat hebahan mengenai situasi banjir daerah ini supaya penduduk segera berpindah ke PPS sekiranya mendapat arahan daripada pihak berkuasa,” katanya.-SAHIH.