Polis cari selebriti dalam video majlis perkahwinan yang ditularkan tidak ikut SOP
Polis cari selebriti dalam video majlis perkahwinan yang ditularkan tidak ikut SOP
Foto atas: Foto tangkap layar daripada video yang ditularkan.
BENTONG – Majlis perkahwinan pasangan selebriti terkenal yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 di Genting Highlands, di sini mendapat reaksi netizen.
Majlis itu yang diadakan di sebuah villa telah dimuatnaik di laman sesawang Facebook melalui video berdurasi 41 saat yang telah ditularkan memaparkan ‘klip’ selebriti itu telah dilaporkan kepada pihak polis pada 27 Disember.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hasil siasatan pihak polis, majlis tersebut berlangsung pada 15 Disember 2021 (Rabu) kira-kira jam 8.30 malam.
“Menerusi video tersebut mendapati terdapat tetamu yang hadir tidak memakai pelitup muka serta tidak mengamalkan penjarakan sosial.
“Keadaan tersebut dilihat telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan kes disiasat di Bawah Perkara 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021,” katanya.
Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong telah membuka kertas siasatan berikutan penularan insiden itu.
“Pihak polis akan mengesan dan megenalpasti kesemua individu yang hadir dalam majlis perkahwinan tersebut, orang ramai jangan membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden ini serta menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MKN.
“Sebarang pertanyaan atau penyaluran maklumat boleh menghubungi IPD Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.-SAHIH.