Tiga daerah di Pahang telah menutup PPS, manakala bilangan mangsa di PPS berkurangan
Tiga daerah di Pahang telah menutup PPS, manakala bilangan mangsa di PPS berkurangan
Foto atas: Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah menyantuni mangsa di PPS Sk Bukit Cermin, hari ini
JERANTUT – Tiga daerah iaitu Jerantut, Raub dan Lipis telah menutup Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana semua mangsa telah pulang ke rumah masing-masing berikutan banjir semakin pulih, setakat pada jam 12 tengah hari ini.
Mangsa banjir di Pahang terus berkurangan apabila mangsa banjir terkini 16,281 orang dari 5,041 keluarga di 112 Pusat Perpindahan Sementara (PPS) berbanding semalam seramai 19,839 mangsa dari 5,460 keluarga di 137 PPS.
Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang berkata, pada masa ini, tiga daerah iaitu Jerantut, Raub dan Lipis telah menutup PPS yang ada kerana semua mangsa telah pulang ke rumah masing masing berikutan banjir semakin pulih.
Katanya, Kuantan masih mempunyai 427 mangsa banjir yang ditempatkan di 4 PPS membabitkan 336 keluarga manakala Maran mempunyai 1,177 mangsa dari 336 keluarga di 21 PPS dan Bentong masih mempunyai 3,099 mangsa dari 1,192 keluarga di 15 PPS.
Di Pekan terdapat, 1,928 mangsa dari 620 keluarga di 25 PPS, Bera mempunyai 1975 mangsa dengan 557 keluarga di 17 PPS manakala di Temerloh terdapat 7,675 mangsa dari 2,220 keluarga di 31 PPS.
Sementara itu beberapa jalan masih ditutup kepada semua kenderaan membabitkan daerah Bera , Temerloh , Maran dan Pekan. –SAHIH.