Air mendadak naik dalam tempoh singkat, bantuan lewat tiba
Air mendadak naik dalam tempoh singkat, bantuan lewat tiba
TAMAN SRI MUDA, Shah Alam – Air mula naik pada Sabtu tengah hari kira-kira 0.3 meter dan air terus mendadak naik hampir mencecah lantai tingkat 1, kira-kira 2 meter dalam kejadian banjir di sini pada Sabtu lalu.
Begitulah apa dikatakan seorang mangsa di Taman Sri Muda, Raymon Leong (51), yang tidak dapat menyelamatkan barangan di tingkat bawah rumahnya, dia dan sekeluarga terus bertahan di tingkat atas.
Katanya kejadian berlaku tengah hari Sabtu, paras air ketika itu kira-kira 0.3 meter dan kira-kira jam 5 petang paras air sudah naik sehinga kira-kira 2 meter.
“Saya dan emak naik ke tingkat atas dan menunggu bantuan, memang ada bot lalu-lalang tapi mereka suruh bertahan dahulu sehingga keesokan harinya ( Ahad).
“Saya minta adik guna bot yang kerap digunakan untuk memancing untuk bawa keluar mak saya melalui bumbung, paling menyedihkan bantuan lambat tiba,” katanya.
Katanya, ini adalah kejadian kedua selepas tahun 1995, tapi kali ini sangat besar, tidak sempat berbuat apa-apa dengan paras air naik begitu cepat.
Katanya, hari ini mujur diberi bekalan elektrik untuk lampu dan kipas, mereka boleh membansuh rumah dan mengemas, walaupun banyak barangan telah dibuang.
Seorang lagi mangsa, Nagoven a/l Narajan (64) tidak sangka air naik begitu cepat sehingga mencecah siling rumah dan dia serta keluarga naik ke atas tingkat satu, mujur rumah kami dua tingkat.
“Berkaitan bantuan agak lambat, kami hanya menunggu bantuan makanan dan keluar dari rumah tapi hanya lewat hari Ahad (hari kedua kejadian) baru bantuan tiba.
“Banyak barangan dibuang dan rosak tidak boleh digunakan, hari ini semua jiran-jiran lain turut membersihkan rumah dan barangan yang mana boleh digunakan,” katanya.
Sementara itu, seorang warga emas, Khatijah Saari (58) yang kebetulan berada di rumah anaknya tidak sempat berbuat apa-apa kerana dia dan cucu sahaja yang ada di rumah ketika itu, dia dan cucu terus naik ke tingkat atas.
“Hanya mampu menelefon anak dan anak saudara yang tinggal di berdekatan kawasan ini, tapi mereka turut terkandas tidak dapat datang.
“Saya turut menjerit kepada bot-bot yang lalu-lalang di situ untuk bantuan tetapi oleh kerana keadaan kami dikatakan terkawal kerana berada di tingkat atas rumah, mereka datang kemudian menghantar bekalan makanan,”katanya.
Seorang penduduk Indah Elit, Kemuning Utama, Yusrina Ramli (46) anak saudara kepada Khatijah berkata, pada hari itu dia terpaksa meranduk air sedalam paras betis , pasukan penyelamat berbot membawa mangsa-mangsa yang dihantar.
“Kita mohon bantuan pihak beruniform tapi mereka memberi keutamaan kepada penduduk rumah setingkat dan kanak-kanak, orang sakit dan warga emas.
“Saya yang tinggal kira-kira 2 kilometer dari rumah mak saudara di taman ini menunggu mangsa yang diangkut dengan bot penyelamat seolah-oleh menunggu waris balik dari Mekah,” katanya.
Katanya, ramai waris menunggu di kawasan selamat itu menyerbu untuk memastikan waris masing-masing untuk dibawa ke rumah masing-masing atau ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini,” katanya.-SAHIH.