ISTERI JUAL KUIH UNTUK SARA KELUARGA SEJAK SUAMI SAKIT
ISTERI JUAL KUIH UNTUK SARA KELUARGA SEJAK SUAMI SAKIT
Foto: Fazziah bdullah (berdiri, kiri) mendukung anak keempat bersama suami, Akbar Nizam Hamzah (berbaring) dan seorang anak lelaki berusia 15 tahun di rumah ibu bapa mereka di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut.
JERANTUT : Sejak suami Fazziah diserang angin ahmar setahun lalu sehingga memberi kesan kepada perbelanjaan keluarga, dia mengambil alih tugas suaminya dengan berniaga kuih-muih secara kecil-kecilan untuk menampung pendapatan keluarga.
Fazziah Abdullah, 42, berkata, selepas suaminya diserang angin ahmar sehingga mengakibatkan tidak boleh bergerak di bahagian kiri anggota badan, dia mula berniaga di Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini.
“Suami saya juga menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan asma hanya cuma mampu berbaring di atas kerusi malas dan setiap bulan menjalani terapi di Hospital Bandar Pusat Jengka, tetapi keadaannya tidak berubah.
“Sebelum ditimpa penyakit angin ahmar, dia bekerja selama 15 tahun di Kelang di sebuah syarikat swasta dan kembali ke kampung di sini untuk membuat kerja sendiri sejak enam tahun lalu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut ibu kepada empat orang anak lelaki berusia antara 2 hingga 17 tahun berkata, sebelum ini suaminya sudah mengalami penyakit darah tinggi, kencing manis dan asma sehinggalah diserang angin ahmar pada bulan Disember 2020.
“Beberapa hari sebelum dihinggap penyakit ini keadaan badan suami agak lemah dan kemudian dihantar ke Hospital Bandar Pusat Jengka untuk mendapatkan rawatan dan disahkan mengalami angin ahmar.
“Dia kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hosas) Temerloh untuk menjalani pemeriksaan di bahagian kepala, tetapi mujurlah tidak mengalami apa-apa kesan akibat penyakit angin ahmar,” katanya.
Fazziah berkata, mereka juga berdepan dengan ujian Allah SWT, apabila anak keempat, Mohd Azriq Izzuddin, 2 tahun 10 bulan mengalami sindrom dan ditambah pula menderita penyakit tyroid dan kecacatan bahagian kemaluan.
“Anak saya ini juga sedang menjalani terapi di Temerloh dan pada bulan Disember tahun ini akan dibedah bahagian kemaluan serta rawatan bahagian telinga,” katanya.
Katanya, dia cuma menjual kuih-muih di hadapan rumah dan pesanan pelanggan menerusi ‘hantar dan bayar’ (COD) cuma memperoleh antara RM50 hingga RM80 sehari.
“Pendapatan hanya cuma untuk barang keperluan dapur, susu, lampin pakaian buang, pembayaran bil dan modal untuk berniaga setiap hari. Tetapi, sekiranya hari hujan saya tidak berjual dan bermakna tidak ada pendapatan langsung termasuk waktu penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nasib kami lebih teruk,” katanya.
Selanjutnya Fazziah memberitahu, rentetan kesusahan dan tekanan kewangan, dia dan suami memutuskan untuk memindahkan keluar seorang anak lelaki berusia 15 tahun daripada sebuah Sekolah Menengah Agama Berasrama Kementerian Pendidikan pulang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Felda tersebut.
“Pendapatan jualan kuih-muih tidak cukup menampungi belanja bulanan keperluan dapur dan kebajikan keluarga yang mencecah hingga RM2,000 termasuk kos menyewa kereta dua kali sebulan membuat rawatan suami dan anak ke Temerloh dan Bandar Pusat Jengka sebanyak RM300 pergi dan balik.
“Saya reda dengan ujian Allah SWT dengan keadaan nasib kami sekeluarga malahan sebagai generasi kedua Felda juga, saya masih tidak mempunyai kediaman sendiri dan cuma menumpang di rumah milik ibu bapa,” katanya.
Fazziah berkata, semasa bekerja di Kelang, majikan suaminya ada mencarum di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), tetapi tidak tahu hendak membuat rujukan dengan pihak agensi berkenaan untuk mendapatkan bantuan kewangan.
Orang ramai dan para dermawan yang ingin beramal jariah bolehleh menghubungi Fazziah Abdullah menerusi talian 011-12834047 atau Akbar Nizam Hamzah (014-2112393) atau terus akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 06004-41-00009846-3 (Akbar Nizam).-SAHIH.