“Kerana Wheelie, Kempunan Merasa Udang Celup Tepung”
“Kerana Wheelie, Kempunan Merasa Udang Celup Tepung”
Setiu, 19 November 2021 – Seorang remaja berusia 18 tahun yang berasal dari Bachok, Kelantan ditangkap oleh sepasukan Polis kerana melakukan aksi wheelie semasa menunggang motosikal di Jalan Pantai Penarik – Rhu 10 pada Jumaat petang.
Remaja itu menunggang motosikal dari Bachok, Kelantan bersama rakan-rakannya ke Pantai Rhu 10, Setiu kerana ingin bersiar-siar hujung minggu serta menikmati Udang Celup Tepung. Semasa melalui Jalan Pantai Penarik – Rhu 10, remaja itu terus melakukan aksi mengangkat tayar hadapan atau wheelie secara berulang kali sejauh 100 meter.
Sepasukan Polis dari JSPT IPK Terengganu (Skuad 42) yang sedang membuat risikan dan pemantauan samseng jalanan di sekitar kawasan Pantai Rhu 10 telah melihat dan terus mengekori remaja itu sehinggalah ditangkap sebaik sahaja beliau memberhentikan motosikalnya di hadapan sebuah gerai makan.
Remaja itu bersama-sama dengan motosikal yang digunakannya untuk melakukan aksi wheelie telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal sambil melakukan aksi tersebut yang jelas membahayakan kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain,lapor PDRM
Jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000.