JENAZAH KAPTEN MOHAMAD AFFENDI BUSTAMY SELAMAT DIKEBUMIKAN
Jenazah Kapten Mohamad Affendi Bustamy selamat dikebumikan
ROMPIN: Suasana sedih menyelubungi upacara pengebumian juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia Kapten Mohamad Affendi Bustamy pada Rabu jam 8.30 malam di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah.
Arwah terkorban dalam nahas pesawat Hawk MK108 milik TUDM yang terhempas ketika melakukan latihan penerbangan malam di Pangkalan Udara Butterworth pada Selasa.
Jenazah Kapten Affendi, 31 tahun tiba dirumah keluarga di Muadzam Shah pada jam 6.30 petang sebelum dibawa ke masjid Besar Muadzam Shah untuk solat jenazah.
Upacara pengebumian disempurnakan dengan penuh istiadat ketenteraan dengan keranda yang membawa jenazah dilitupi jalur gemilang dan diusung oleh anggota tentera berpakaian istiadat.
Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan General Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan bersama pegawai-pegawai kanan TUDM turut hadir memberi penghormatan terakhir.
Selesai pengebumian, Leftenan Jeneral Mohd Asghar menyerahkan Jalur Gemilang kepada isteri arwah Kapten Affendi, Nurul ‘Izati Shari sebagai tanda penghormatan terakhir.
Dalam kejadian 10.07 malam Selasa, sebuah pesawat Hawk MK108 milik TUDM terhempas bersama dua juruterbangnya ketika mengadakan latihan penerbangan malam.
Insiden itu menyebabkan Mohamad Affendi terkorban manakala rakannya, Mejar Mohd Fareez Omar, cedera dan kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan selamat dan stabil.-SAHIH