RUMAH WARGA EMAS HAMPIR REBAH, PERLU BANTUAN RUMAH BAHARU
RUMAH WARGA EMAS HAMPIR REBAH, PERLU BANTUAN RUMAH BAHARU
JERANTUT : Setiap kali hujan lebat dan angin kuat membimbangkan seorang warga emas yang tinggal berseorangan di rumahnya yang uzur dan bakal rebah menyembah bumi di Kampung Perak, dekat sini.
Warga emas itu, Hamidah Sulaiman, 63, berkata, kebanyakan papan lantai rumahnya sudah reput dan rumah akan bergoyang ketika lantai dipijak, sewaktu berlaku ribut membimbangkan dia sekiranya anak serta cucu mahupun tetamu berada di atas rumah.
‘Setiap kali ribut berlaku, perkara yang cukup membimbangkan saya ialah rumah ini akan rebah kerana reput akibat dimakan anai-anai dan lebih 10 lubang di lantai ruang tengah, bilik tidur dan beranda sehingga menyebabkan kerap kali kaki saya terjerlus.
“Saya tinggal bersendirian, lantai di ruang tengah, bilik tidur dan beranda malahan tiang yang menunjangkan rumah ini yang dibina pada 1967 oleh arwah suami saya, Saibon Mat Rais sudah reput keseluruhan dimakan anai-anai serta menjadi sarang serangga berkenaan,” katanya.
Kata ibu kepada tiga orang anak berusia antara 27 hingga 45 tahun itu, tandas berdekatan dapur pun sudah hampir roboh dengan dinding simen yang mula retak dan pecah.
“Apa yang boleh katakan keseluruhan rumah lama ini sudah uzur teruk di semua bahagian atap, bumbung, lantai, dinding, tiang, manakala ada beberapa buah tingkap sudah tidak boleh dibuka lagi bila-bila masa sahaja rumah ini akan runtuh.
“Ketika ribut datang, saya cepat-cepat turun dan berlindung di rumah anak, Hasimah Mohamed, 45, yang terletak kira-kira 10 meter dengan kediaman ini untuk menjaga keselamatan diri yang kerap uzur,” katanya.
Katanya, rumah bertiang yang dibina dengan kayu dan papan di bahagian tengah (ibu), manakala dapurnya berlantaikan simen dibangun di atas tanah seluas 0.8 hektar yang keseluruhan dipenuhi tanaman kelapa dan buah-buahan merupakan rumah warisan yang ditinggalkan oleh arwah suaminya.
Hamidah berkata, pernah sekali sahaja dia menerima bantuan membaik pulih atap oleh kerajaan pada 2013 akibat diterbangkan angin dan sehingga ini tidak ada lagi bantaun baik pulih malahan struktur kediaman itu semakin uzur dimakan anai-anai.
“Saya bimbang rumah ini bila-bila masa boleh rebah memandangkan cuaca musim tengkujuh sudah bermula dan kerap berlaku angin kencang dan tetap risau dengan sebarang kejadian yang tidak diingini ketika tinggal berseorangan.
“Saya tidak mampu untuk membaiki rumah ini kerana tiada pendapatan di samping sering sakit,” katanya.
Orang ramai dan dermawan yang ingin membantu membina kediaman Hamidah Sulaiman dengan menghubunginya menerusi talian 019 9061683 atau anaknya, Hasimah Mohamed (014 8164963) atau datang terus ke Kampung Perak, dekat sini. -SAHIH