PEMBANGUNAN SEMULA KAMPUNG BARU KARAK PERLU KAJIAN TELITI – YDP AGONG
PEMBANGUNAN SEMULA KAMPUNG BARU KARAK PERLU KAJIAN TELITI – YDP AGONG
BENTONG: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah pembangunan semula Kampung Baru Karak memerlukan satu kajian menyeluruh dan terperinci.
Baginda bertitah seluruh kawasan Kampung Baru Karak ini perlu dikaji semula terutama yang melibatkan segi keselamatan pada masa akan datang.
“Kalau boleh, kaji daripada sudut keselamatan dan secara holistik supaya kawasan ini dapat dibangunkan dengan sebaik yang mungkin, tersusun dan terancang.
“Semua aspek keselamatan perlu diambil kira khususnya berkaitan dengan jarak rumah yang dekat, bekalan elektrik yang mencukupi, air untuk kegunaan hydrant water untuk bomba dan kalau di masa kecemasan perlu dipandang serius, titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika mencemar duli menyantuni mangsa kebakaran di Dewan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB) di Kampung Baru Karak.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Datuk Abd Rahim Muda; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Semula Rumah Kampung Baru Karak, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Pegawai Daerah Bentong, Datuk Mohd Zulkifli Hashim.
Baginda turut bertitah supaya Kerajaan Pahang dapat memberi pertimbangan daripada segi peraturan pembangunan semula kawasan yang musnah dalam musibah kebakaran ini.
“Tadi saya dengar sedikit rayuan kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat tentang peraturan-peraturan, saya percaya Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan peraturan yang sedia ada.
“Kita tahu sejarah kawasan ini, sejarah bagaimana mereka di kawasan ini dan sudah pasti setiap inci tanah ini amat berharga kepada mereka dan keluarga, dan saya percaya mereka tidak mahu kehilangan rumah dan harta-harta di sini,” titah baginda lagi.
Baginda dalam titahnya turut menasihatkan orang ramai untuk menjaga kesihatan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memakai pelitup muka serta mengambil suntikan vaksinasi Covid-19.
“Saya harap semua orang menjaga diri, ambil vaksin, dalam rekod, orang telah mengambil vaksin lebih selamat dari orang yang tidak divaksin. Sebagai Agong, saya nasihat semua kena ambil vaksin supaya kita dapat jaga orang-orang di sekeliling kita,” titah baginda.-SAHIH.