JANGAN JUAL TANAH ANUGERAH KERAJAAN
JANGAN JUAL TANAH ANUGERAH KERAJAAN NEGERI
JERANTUT: Seramai 148 penerima tanah seluas tiga ekar melalui Skim Tanah Rakyat (STR) di Kampung Pagi dinasihatkan tidak menjual tanah yang diterima sebaliknya mengusaha tanah tersebut sebagai meneruskan kelangsungan hidup di masa hadapan khususnya kepada generasi kedua kepada penerima.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemilikan tanah sebagai satu kekuatan kepada keluarga penerima yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri kepada rakyat negeri ini untuk dimanfaatkan bersama.
“Janganlah jual tanah ini selepas memilikinya kerana tanah yang dimiliki sebagai satu kekuatan kepada keluarga dan lambang kesejahteraan dan harus usahakan sebaik mungkin.
“Bukan mudah untuk meluluskan pemberian tanah seluas 3 ekar, kerajaan negeri perlu memikir dan mencari lokasi yang sesuai tanpa menjejaskan persekitaran, hanya kerajaan yang stabil pentadbirannya dengan dokongan rakyat semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyerahkan kepada Surat Kelulusan Skim Tanah Rakyat (STR) Kampung Pagi, Mukim Hulu Tembeling, Jerantut, hari ini.
Katanya, kekuatan kewangan negeri Pahang adalah kerana kestabilan politik dan pentadbirannya, sebab itu kerajaan turut mampu membina Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang bernilai RM65,000 yang diberi percuma.
“Kita bagi tanah dan juga rumah bukan senang, oleh kerana kewangan negeri ini kukuh, maka kita kembalikan kekayaan kepada rakyat semula, percayalah… tiada lagi negeri dalam negara ini memberi rumah percuma.
“Sebelum ini, saya turut menyerahkan bantuan sejumlah RM 2,000 kepada 15 pengusaha restoran terapung di Kuala Tahan yang terjejas perniagaan mereka kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan wabak Covid-19,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah, Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dan Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris
Seorang penerima Mahyon ismail, 42 yang berasal dari Sabah yang berkahwin dengan Mohd Satar Ahmad, bersyukur menerima tanah seluas 3 ekar dianugerah oleh kerajaan Pahang.
“Tanah adalah lambang kekuatan keluarga, Insya Allah saya dan keluarga akan mengusaha tanah ini demi keluarga, “ katanya mewakili suaminya yang menerima rawatan di wad Hospital Jerantut, hari ini.
Penerima tanah STR , Mohd Yusof Mat Si, 63 tahun berkata, betullah apa yang dikata, tanah tumpah darahku dan tanah air, merupakan anugerah tanah ini memberi semangat kepada sesiapa pun memiliki tanah.
“Saya untuk mengusaha tanah ini, sedang memikirkan sama ada tanam sawit atau getah, terima kasih kerajaan negeri yang cakna dengan rakyat, ” katanya.-SAHIH.