DOS PENGGALAK MELALUI PROGRAM MOVAK 2.0
DOS PENGGALAK MELALUI PROGRAM MOVAK 2.0
MARAN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara memperkenalkan MOVAK 1.0 pada Ogos lalu bertujuan menyegerakan proses suntikan vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), bagi penduduk luar bandar.
Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib berkata, proses suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 kepada golongan sasar boleh dipercepatkan jika program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) diteruskan selepas fasa pertama program itu berakhir pada 3 Oktober lalu.
“Kita sedang meneliti dan bergantung kepada keperluan untuk meneruskan atau memperkenalkan program MOVAK 2.0 yang bukan sahaja untuk remaja berusia 12 hingga 17 tahun, tetapi juga untuk suntikan dos penggalak.
“Macam untuk dos penggalak ini, kita sedang cari jalan bagaimana cara untuk melaksanakannya, walaupun digalakkan, tetapi belum lagi menjadi arahan atau diwajibkan.
Katanya, peratusan penduduk dewasa menerima dos lengkap vaksin di negara kita sudah lebih 95 peratus dan diharapkan dapat diteruskan program seperti MOVAK ini untuk segera mencapai 100 peratus.
“Apa salahnya kita teruskan sebagai menyokong program PICK yang dilihat memberi kesan terbaik,” katanya kepada media selepas Majlis Ramah Mesra Komuniti Orang Asli Kampung Sungai Jempol, di sini hari ini.
Sebelum ini, program MOVAK 1.0 dilaksanakan di tujuh negeri iaitu Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dan secara keseluruhan, sebanyak 84,868 dos suntikan vaksin diperuntukkan bagi program inisiatif KPKT dan Kementerian Perpaduan Negara itu. –SAHIH.