MARAN MAHU HOSPITAL UNTUK PENDUDUK DI SEKITAR
MARAN MAHU HOSPITAL UNTUK PENDUDUK DI SEKITAR
MARAN: Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib berharap pembinaan Hospital Maran yang tergendala dapat diteruskan dan menjadi antara projek mega di negeri Pahang untuk memberi kemudahan kepada penduduk di sekitar bandar Maran dan penduduk yang tinggal di perkampungan tradisional .

Katanya, projek bernilai RM 200 juta itu telah diluluskan pada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), bagaimanapun, cadangan pembinaan Hospital Maran pernah dibatalkan tahun lalu selepas berlaku pertukaran lokasi dari Batu 55 ke Lot PT2951 Mukim Luit.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, kini kerja-kerja permukaan seperti mengukur tanah telah dilakukan dan diharapkan projek itu dapat diteruskan dan direalisasikan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra, Ketua Cawangan dan Ketua Sayap Kepimpinan Umno Bahagian Maran Serta Kepimpinan Masyarakat Parlimen Maran.
“Insya Allah kita akan pastikan dan merealisasikan projek ini dan kita tidak mahu kalau boleh projek ini tertangguh sebab di Maran masih belum mempunyai hospital.
“Kalau alasan sudah ada Hospital Jengka di Bandar Jengka, maka Maran turut mahu mempunyai sendiri untuk memberi khidmat kepada penduduk di sekitar Maran,” katanya.-SAHIH.