REMAJA 16 DAN 17 TAHUN AKAN DIBERI VAKSIN MULAI 21 SEPTEMBER DI JERANTUT
REMAJA 16 DAN 17 TAHUN AKAN DIBERI VAKSIN MULAI 21 SEPTEMBER DI JERANTUT
JERANTUT: Suntikan vaksin Covid-19 dos pertama bagi remaja 16 dan 17 tahun akan diberi bermula hari Selasa (21 September) di Jerantut.
Tarikh vaksin dos pertama akan diberi mulai 21 September hingga 25 September ini, manakala dos kedua pada 12 Oktober hingga 16 Oktober.
Tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam akan diadakan di Dewan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec)Jerantut, Dewan Dato’ Chu Rahimah dan Xcape Resort, Kuala Tahan.
Manakala 4 Klinik Kesihatan (KK) pula akan diberi di KK Lepar Utara, KK Sg Tekam Utara, KK Padang Piol dan KK Damak. Program Jangkauan Vaksinasi (Outreach) akan diadakan Dewan Semai Bakti FELDA Jengka 8.
Pegawai Kesihatan Daerah Jerantut, Dr Amir Faisal Dato’ Mohd Khairi berkata, ketetapan pelajar untuk divaksin adalah berdasarkan PPV awam yang berdekatan dengan sekolah, penjadualan vaksin juga berdasarkan sekolah.
“Walk-in turut dibuka untuk pelajar yang bersekolah di luar daerah tetapi menetap di Jerantut dan hanya perlu hadir di PPV bersama penjaga.
“Warga negara dan bukan warga negara yang tidak bersekolah dan berumur 16 dan 17 tahun juga digalakkan hadir semasa sesi tersebut,” katanya.
Katanya, mereka akan diberi Borang Persetujuan Suntikan Covid-19 (Untuk Berumur di bawah 18 tahun) dan borang ini akan diagihkan ke pihak sekolah secara “soft-copy” dan pihak sekolah akan mengagihkan kepada pelajar sebelum tarikh vaksin.
“Borang ini wajib diisi dalam 2 salinan dan dibawa ke PPV yang telah ditetapkan serta pelajar perlu hadir bersama salah seorang ibu, bapa atau penjaga masing-masing.
“Jika waris tidak dapat hadir, perlu mengisi borang perwakilan dan wakilkan kepada seseorang wakil yang berumur lebih 18 tahun. Borang persetujuan suntikan perlu diisi dan ditandatangani dan kepilkan bersama Borang Perwakilan ini untuk dibawa ke PPV mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.-SAHIH.