TANAMAN CILI FERTIGASI BERSKALA BESAR HASIL PENDAPATAN LUMAYAN
TANAMAN CILI FERTIGASI BERSKALA BESAR HASIL PENDAPATAN LUMAYAN
TEMERLOH: Tanaman cili merah secara sistem fertigasi berpotensi dibangunkan secara berskala besar sebagai punca pendapatan baharu petani di luar bandar di negeri ini untuk pasaran seluruh negara untuk bersaing dengan cili import.
Ini dibuktikan bekas Pegawai Latihan Biro Tatanegara ( BTN), Jabatan Perdana Menteri, Norli Shahriman Alwi, 41, dari Kampung Kuala Sanggang yang mengusahakannya projek tanaman cili cara fertigasi sejak empat bulan mampu menjana pendapatan yang lumayan.
Menurutnya, projek lain yang diusahakan ialah ternakan ikan patin sangkar dan ayam kampung agak terjejas berikutan wabak Covid-19 melanda negara sejak tahun lepas.
Tambah beliau, penanaman cili merah menggunakan teknologi ini terbukti dapat meningkatkan hasil dan mempunyai daya maju yang tinggi.
“Sebanyak 2,000 pokok cili daripada 1,000 polibeg dalam kawasan tanah seluas 0.5 ekar tanah mampu menghasilkan 15 hingga 20 kilogram sehari.
“Jumlah itu dapat menampung permintaan daripada kedai-kedai agro dan kedai makan sekitar daerah Temerloh serta peniaga pegan sahari,”katanya ketika ditemui di tapak projek di kampung Kuala Sanggang hari ini.
Menurutnya, ketika ini pasaran lada tempatan tidak dapat menembusi pasaran di pasar raya kerana mendapat persaingan daripada cili yang datang dari Thailand dan Vietnam.
“Pasaraya dan kedai-kedai tertentu di daerah ini menjual RM8 sekilogram berbanding lada tempatan, manakala produk lada dari projek yang saya dijual serendah RM14 sekilogram berikutan keperluan pertanian seperti baja AB Cameron Highlands berharga RM250 untuk 50 kilogram.
“Saya memberi jaminan cili merah Kuala Sanggang berkualiti tinggi, panjang, segar, tahan lama, pedas dan sesuai untuk semua jenis masakan,” katanya.
Katanya, kerajaan melalui agensinya perlu giat membimbing petani berkaitan dengan ilmu tanaman secara fertigasi secara besar-besaran bagi menghasilkan produk makanan sendiri.
“Agensi kerajaan seperti FAMA wajar membeli terus hasil dari petani dengan harga berpatutan. Rantaian itu penting bagi menyokong sektor pertanian dalam negara boleh berkembang dan bersaing.
“Sistem tanaman ini daripada cabang hidroponik yang antara lainnya ialah seperti Sistem Titis Mikro, Hidroponik Aliran Dalam, Hidroponik Aliran Cetek, Hidroponik statik, Aeroponik dan Pemercik Mikro,” katanya.-SAHIH.