JURUUKUR KAMPUNG TOLONG CARI LOT TANAH
JURUUKUR KAMPUNG TOLONG CARI LOT TANAH
JERANTUT: Seorang bekas juruukur Jabatan Ukur menggunakan kemahirannya untuk membantu orang perseorangan yang ingin mencari sempadan tanah atau tanah lot milik masing-masing di sekitar Jerantut Feri dan di daerah ini secara sukarela dan hanya mendapat upah ala-kadar yang diberi oleh tuan punya tanah.
Bekas juruukur itu, Jamaluddin Sulaiman, 63 tahun berkata, semenjak dia bersara pilihan pada tahun 1999, dia bekerja dengan sebuah syarikat di Mentakab selama lima tahun untuk melakukan kerja pengukuran di tanah seluas 4,046 hektar (10,000 ekar).
“Kemudian, syarikat itu mahu saya menjalankan kerja pengukuran di Sabah, saya menolak dan berhenti bekerja, sejak itu saya hanya menjalankan kerja-kerja sambilan sekadar berbakti kepada orang yang ingin mencari sempadan atau lot tanah mereka.
“Ada tuan punya tanah tidak tahu kedudukan tanah mereka, terutama generasi kedua keluarga, saya hanya membantu mencari lot tanah bergeran sebelum tuan punya tanah menggunakan khidmat juruukur berdaftar,” katanya.
Jamaluddin berkata, sambil dia membantu mencari lokasi lot tanah dia rasa seronok dapat meredah semak-samun dan hutan kecil, itu antara cara dia beriadah dan mencari peluh sambil berkebun kecil di belakang rumahnya.
Katanya sebagai juruukur, alatan pengukuran yang diwajib ada ialah pita pengukur, alat navigasi dan kompas bagi memudahkan mendapatkan jarak dan bearing ketika mencari batu panjang atau batu tanda di lot tanah.
“Saya menggunakan alat Global Positioning System (GPS) yang saya beli, alat ini merupakan sistem nevigasi menggunakan satelit bagi membantu mencari lokasi tanah tertentu berdasarkan angka latitud dan longitud pada geran tanah.
“Kompas turut diperlukan untuk mencari bearing kedudukan lokasi dan pita pengukur untuk menentukan jarak yang sebenar,” katanya.
Jamaluddin berkata, khidmatnya sekadar sebagai khidmat bantu mula kepada orang yang mahu mencari serta kedudukan lot tanah mereka, maka dia memberi bantuan lebih menjurus kepada ‘amal jariah’.
“Saya puas hati apabila lot tanah yang dicari ditemui berdasarkan nombor kedudukan yang tercatat dalam geran, pernah juga saya tidak berjumpa kerana menggunakan GPS kadang-kala terganggu kerana menggunakan satelit.
“Oleh itu, saya kena datang semula ke lokasi yang dicari pada hari berikut, ini yang melambatkan, termasuk kalau tanah itu bersemak tebal terpaksa dirintis dan mengharungi onak yang berduri termasuk mengharungi paya,”katanya.-SAHIH.
Mekik
November 26, 2021 @ 8:13 pm
Apa nombor contek Pak jamaluddin sulaiman.