COVID-19 MENGAJAR UNTUK KREATIF DAN BERUSAHA
COVID-19 MENGAJAR UNTUK KREATIF DAN BERUSAHA
JERANTUT : Keadaan tidak menentu apabila negara dan seluruh dunia diserang pandemik Covid-19 sejak awal 2020, mengakibatkan keadaan ekonomi turut terkesan di samping ramai yang terjejas dan hilang mata pencarian kerana ada diberhentikan kerja disebabkan terdapat majikan tidak mampu meneruskan operasi masing-masing.
Dalam situasi yang tertekan , sikap ‘survival’ dan kreativiti mula muncul dan harus digunakan untuk mencari cabang pendapatan baharu yang lain untuk meneruskan kehidupan bagi menyara keluarga.
Semasa tempoh penguatkuasaan Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang, mendorongkan pasangan suami isteri, generasi kedua Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, Muhammad Rozi Ismail, 41, dan Haslina Md Jalil, 40, mengerjakan kawasan lapang yang terdapat di kawasan Felda di situ.

Kesungguhan ingin mengubah cara hidup dengan semangat berkobar untuk bebas daripada tekanan kesukaran memperoleh pendapatan sebelum ini, mendorongkan pasangan itu mula mengusahakan tanaman terung di kawasan seluas 0.4 hektar milik Felda di situ mula terbukti berhasil.
Muhammad Rozi berkata, peringkat awalnya keraguan muncul kerana bimbang apa yang akan dilakukan akan gagal, mujur isteri memberi galakan, nasihat dan turut membantu mengerjakan tanah untuk memulakan tanaman terung.
“Saya memulakan tanaman ini pada bulan Oktober tahun lalu dengan menggunakan modal daripada simpanan saya untuk membeli biji benih, peralatan kebun dan baja, malah saya menyemai sendiri sebanyak 1,700 pokok di batas tanah yang dibuat menerusi bantuan isteri dan anak.
“Saya menggunakan baja organik yang beli daripada pembekal di Felda ini, manakala peralatan pengairan dan penyiraman pokok saya buat sendiri bagi mengurangkan perbelanjaan,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, Pahang.
Katanya, kira-kira selepas 70 hari, sebanyak 1,700 batang pokok terung mula mengeluarkan hasil dan boleh dipetik, hasil pertama saya perolehi seberat kira-kira 1,000 kilogram (kg), manakala hasilnya sehingga ini sudah melebihi 5,000 kg.
“Pengeluaran hasil yang baik mendorongkan saya dan isteri mula merancang untuk menanam cili kecil, pisang dan menternak kambing kerana keperluan pasaran tempatan yang memberangsangkan ketika ini,” katanya.
Isterinya, Haslina berkata, pada awalnya dia juga bimbang hasil tanaman itu tidak ada pasaran, tetapi sebaliknya jangkaan itu meleset apabila sayuran terung mendapat banyak permintaan daripada masyarakat Felda di situ.

“Sehingga bulan ini, anggaran seberat antara 1,000 hingga 2,000 kg terung dipasarkan setiap minggu bagi memenuhi permintaan pembeli dan pemborong di pasar raya Bandar Pusat Jengka dan kawasan Felda berdekatan,” katanya.
Ibu kepada lima orang anak berusia antara 5 hingga 21 tahun berkata, selain terung, mereka mula menanam petola, kacang panjang, cili dan cekur manis, hasil tanaman itu cukup untuk keperluan dapur, persekolahan dan simpanan sebagai modal bagi tanaman lain dalam masa terdekat.

“Saya berharap generasi baharu Felda tampil mengerjakan kawasan tanah lapang di belakang rumah dalam bidang pertanian, hasilnya boleh dijual, tanamlah benih apapun di kawasan tanah yang subur pasti akan mendatangkan hasil,” katanya.-SAHIH.