SOLAT HAJAT DAN DOA SELAMAT UNTUK PM
SOLAT HAJAT DAN DOA SELAMAT UNTUK PM
JERANTUT: Sebanyak 35 masjid dalam kawasan FELDA Wilayah Jengka mengadakan solat hajat dan doa selamat sempena pelantikan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9, hari Jumaat lalu.
Solat hajat itu diadakah hasil kesepakatan warga peneroka FELDA Wilayah Jengka bagi memohon supaya semua urusan pentabdiran negara dapat dilaksanakan sebaik mungkin oleh perdana menteri.
Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, program itu juga adalah sebagai tanda menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah atas kebijaksanaan dalam menangani krisis pentadbiran negara.
“Kita tumpang bangga dengan pemilihan Ismail Sabri yang juga anak Pahang sebagai Perdana Menteri dan diharapkan ia dapat membantu memulihkan semula keadaan ekonomi yang terjejas teruk sejak COVID-19.
“Selain solat hajat dan doa selamat, kami juga mengadakan majlis tahlil yang diketuai Imam Masjid FELDA Jengka 24,” katanya.
Razak turut menyatakan rasa bangga dengan pemilihan Ismail Sabri, sekali gus menjadikan anak Pahang ketiga memegang jawatan itu, selepas Tun Razak dan Datuk Seri Najib Razak.
Semalam, Ismail Sabri selesai mengangkat sumpah di Istana Negara selepas menerima 114 sokongan daripada ahli parlimen.-SAHIH.