PENEROKA FELDA UCAP TAHNIAH PM9
PENEROKA FELDA UCAP TAHNIAH PM9
JERANTUT: Pelantikan ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan diharap dapat menyelesaikan kemelut politik sejak kira-kira dua minggu lalu.
Pengerusi Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, proses pemilihan Ismail Sabri juga dilakukan seperti ditentukan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, melalui sistem undian dalam kalangan ahli Parlimen.
“Saya mewakili ketua peneroka dan semua warga peneroka FELDA Wilayah Jengka sangat teruja dengan pemilihan beliau (Ismail Sabri) sebagai Perdana Menteri dan kita harap beliau dapat terus memberikan khidmat terbaik untuk semua rakyat tanpa mengira fahaman politik.
“Paling penting ialah beliau perlu mencari jalan menyelesaikan masalah COVID-19 dan merancang pembangunan semula sektor ekonomi negara yang terjejas teruk akibat wabak ini,” katanya.
Ismail Sabri dipilih sebagai Perdana Menteri selepas memperoleh sokongan 114 ahli Parlimen dan perkara itu dimaklumkan melalui kenyataan media dikeluarkan Istana Negara lewat petang tadi.-SAHIH