PASUKAN KHAS POLIS PANTAU PREMIS DINE-IN
PASUKAN KHAS POLIS PANTAU PREMIS ‘DINE-IN’
PORT DICKSON : Polis Daerah Port Dickson menerusi pasukan khas yang ditubuhkan akan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi premis restoran dan makanan yang menjalankan aktiviti ‘dine-in’.
Ia bagi memastikan setiap SOP dapat diikuti sama ada oleh pelanggan mahupun peniaga khususnya berkaitan syarat lengkap dua dos vaksin Covid-19 selepas aktiviti ekonomi berkenaan diberikan kelonggaran dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed menjelaskan, pasukan khas itu juga akan mengadakan pemeriksaan mengejut termasuk ke premis-premis lain di mana aktivitinya turut dibenarkan kembali beroperasi.
“Pihak polis mempunyai pasukan khas dan kami akan mengadakan pemantauan dan pemeriksaan di premis kedai makan yang dibenarkan dine-in serta premis lain yang diberi kelonggaran.
Sememangnya kami minta kerjasama pemilik kedai bagi memastikan hanya pelanggan yang telah selesai dua dos sahaja dibenarkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Penyerahan dan Pemasangan Jalur Gemilang di sini hari ini.
Dalam pada itu, Aidi Sham memberitahu, pihaknya juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk mengadakan pemeriksaan di premis-premis perniagaan terlibat.
Dalam pada itu, menurutnya, bagi pengunjung yang datang ke pantai peranginan di daerah ini, mereka dinasihatkan untuk mengikut SOP yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), lapor KOSMO online
“Pengunjung yang datang berkelah di pantai Port Dickson juga tidak boleh berkumpul dengan jumlah ahli yang ramai dan sekiranya ingkar tindakan tegas akan diambil,” katanya.