UMNO LIPIS UCAP TAHNIAH PM KE-9 ATAS KESEPAKATAN PENUH UMNO
UMNO LIPIS UCAP TAHNIAH PM KE-9 ATAS KESEPAKATAN PENUH UMNO
LIPIS : Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipilih sebagai perdana menteri ke-9 atas kesepakatan presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan semua Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang sebulat suara mencalonkannya.
Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, parti itu mencapai kata sepakat kerana Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO merupakan pemimpin UMNO yang memenuhi semua kriteria untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Abdul Rahman berkata, memang tepat pencalonan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan berasaskan pengalaman luas beliau sebagai anggota kabinet seperti pernah menjawat sebagai Menteri Belia dan Sukan pada 2008 dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (2009).
“Malah, pernah memegang jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2013) dan kemudiannya pada 2015 sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan terbaharu sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kerajaan Pakatan Nasional.
“Saya bersyukur kerana berpeluang berkhidmat bersama beliau (Ismail Sabri) sebagai ahli kabinet dalam kerajaan yang lepas serta berjuang bersamanya sebagai ahli MKT yang menzahirkan banyak suka dan duka serta cabaran yang ditempuh bersama.
Katanya, sejak 35 tahun lalu beliau menyertai politik, Ismail Sabri bukan asing baginya serta kalangan ahli UMNO menyaksikan suatu ketika dahulu dilihat antara pemimpin muda yang bakal memimpin negara pada satu hari nanti.
Menurut Abdul Rahman, karisma Ismail Sabri berasaskan acuan sebagai anak kampung boleh menjiwai kehidupan masyarakat luar bandar khususnya sebagai Ahli Parlimen Bera sehingga diberi kepercayaan mengemudi KKLW pada 2015 di bawah kabinet Datuk Seri Najib Razak Tun Razak pada masa itu.
“Segala buah fikiran, perancangan dan pelaksanaan pembangunan berkenaan khususnya menempias ke kawasan luar bandar dalam tempoh berkenaan adalah sesuatu yang perlu diiktiraf oleh semua pihak,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MKT) Umno berkata, ketika Ismail Sabri dilantik sebagai Menteri Kanan, beliau diberikan peranan sebagai Menteri Penyelaras Covid-19 serta menjadi jurucakap kerajaan menzahirkan kematangan tindakan ketika menghadapi krisis tersebut.
“Sebagai anak kampung, saya tidak terkejut atau hairan dengan nama jolokan yang diberikan kepada Ismail Sabri seperti ‘Pak Long Mail’ malahan kanak-kanak turut mengenalinya sebagai Atok Mail, panggilan berkenaan menggambarkan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat sehingga dapat dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Semasa dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN), saya melihat Ismail Sabri seorang menteri yang mewakili UMNO, rakyat dapat melihat betapa jauh jurang perbezaan kualiti dan kredibiliti seorang menteri parti ini (UMNO) dengan menteri daripada kerajaan sebelumnya,” katanya.
Mengulas selanjutnya, Abdul Rahman berkata, Ismail Sabri berjaya merakyatkan kepimpinan beliau, membina berkeperibadian tinggi serta sangat berkredibiliti.
“UMNO Lipis dan penduduk di daerah ini berterima kasih kepada PM baharu kerana cemerlang dalam pentadbiran yang lepas dan secara tidak langsung rakyat turut merindui zaman pemerintahan UMNO/BN dan serba sedikit telah mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti keramat ini,” katanya.-SAHIH.