LELAKI DITEMUI MENINGGAL DUNIA DI DALAM RUMAH LEBIH EMPAT HARI
LELAKI DITEMUI MENINGGAL DUNIA DI DALAM RUMAH LEBIH EMPAT HARI
(Foto: Pihak polis berada di tempat kejadian di Kampung Baru Chembong Halt, Rembau)
REMBAU: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dipercayai lebih empat hari di dalam sebuah rumahnya di Kampung Baru Chembong Halt, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Hazri Mohamad berkata, mangsa, Rizal Salleh, 43, ditemukan tidak sedarkan diri di bahagian ruang tamu rumah oleh abangnya yang pergi ke rumah berkenaan.
Katanya, abang mangsa, Shahril Salleh, 45, telah menolak pintu hadapan rumah dan mendapati adiknya dalam keadaan telentang serta tidak sedarkan diri dan terus menghubungi talian kecemasan 999.
“Pasukan paramedik dari Klinik Kesihatan Rembau tiba di lokasi kejadian dan mengesahkan mangsa meninggal dunia. Polis telah menjalankan siasatan dan mendapati mangsa tinggal seorang diri.
“Mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih empat hari dan siasatan lanjut di lokasi tidak menemukan sebarang unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hazri berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Rembau bagi proses bedah siasat dan kes disiasat sebagai mati mengejut.