PKR DAKWA RAIH LEBIH 105 SOKONGAN
PKR DAKWA RAIH LEBIH 105 SOKONGAN
PETALING JAYA: PKR mendakwa sokongan terhadap Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri bertambah, berbanding 105 Ahli Parlimen sebelum ini.
Ketua Penerangannya, Shamsul Iskandar Mohd Akin, bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah pertambahan dan Ahli Parlimen mana yang memberikan sokongan.
“Calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, ada pertambahan (sokongan). Kita tak dapat dapat dedah kerana arahan Istana Negara ialah menjaga kerahsiaan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Malam tadi, Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal mengesahkan beliau dan Anwar dinamakan oleh PH Plus sebagai calon perdana menteri.
Kata Shafie, ia berasaskan 105 sokongan yang diterima masing-masing, tetapi siapa di antara mereka berdua yang dapat meraih undi bagi menambah kekuatan itu akan menjadi calon pilihan.
Bagaimanapun hari ini, Shafie mengesahkan calon pembangkang tunggal adalah Anwar selepas kegagalannya mendapatkan sokongan daripada GPS sebanyak 18 Ahli Parlimen.
Dalam wawancara bersama Astro Awani semalam, Shafie berkata, akuan berkanun (SD) bukan satu-satunya cara memilih perdana menteri kerana perdana menteri baharu wajib mengabsahkan kedudukannya menerusi undi percaya di Parlimen.
Dalam perkembangan lain, Umno dan Barisan Nasional (BN) sepakat menamakan Ismail Sabri Yaakob, sebagai calon perdana menteri.
Ismail dinamakan Umno sebagai pilihan ketiga bagi mengisi kekosongan jawatan terbabit selepas presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, menarik diri, manakala timbalan presidennya, Mohamad Hasan, pula bukan Ahli Parlimen.
Justeru, meninggalkan Ismail sebagai satu-satunya difikirkan parti berkenaan layak dinamakan sebagai calon perdana menteri.