PEMANDU AMBULAN MAUT DALAM KEMALANGAN
PEMANDU AMBULAN MAUT DALAM KEMALANGAN
JOHOR BHARU: Seorang pemandu ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) yang dalam perjalanan mengambil bekalan vaksin, maut di KM 9.7 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Skudai, Johor, dalam kejadian kemalangan jalan raya pada jam 11.58 pagi, hari ini.
Pemandu ambulan yang berusia 49 tahun, Shamsul Shamshuri, tersepit di bahagian pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.
Mangsa, Shamsul Shamshuri, bersama tiga lagi staf KKM dalam perjalanan dari Pejabat Kesihatan Daerah Kluang menuju ke Hospital Permai di sini untuk mendapatkan bekalan vaksin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I, Suhaimi Abdul Jamal berkata, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin dan BBP Skudai dengan lima jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Semasa tiba didapati empat kakitangan KKM itu iaitu pemandu, Rosnilam Satari, 48, Azlina Mohd. Rawi, 41, dan Amelia Pek Ying Hung, 26, terperangkap dalam van tersebut.
“Pihak bomba mengunakan alatan ‘rescue cutter’ untuk mengeluarkan semua mangsa yang mengambil masa kira-kira 11 minit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, dua lagi mangsa yang menaiki ambulans itu cedera, sementara pemandu lori berkenaan terselamat.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Rupiah Abd Wahid berkata, pemandu van tersebut meninggal dunia dan dibawa dengan EMRS, manakala dua lagi mangsa cedera menaiki kenderaan KKM ke hospital sementara pemandu lori berkenaan terselamat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.