HOMEGUARD NYARIS MAUT PELURU ATAS KEPALANYA KETIKA BERTEMPUR
HOMEGUARD NYARIS MAUT PELURU ATAS KEPALANYA KETIKA BERTEMPUR
(gambar atas: Kamarudin menunjukkan enjin lama motobot yang digunakan mengangkut anggota polis ketika zaman darurat)
LIPIS: Seorang homeguard atau pengawal kampung, Kamarudin Li berusia 82 tahun menceritakan dia nyaris maut dalam pertempuran dengan komunis semasa zaman darurat di Kampung Sepial, Kuala Tembeling, Jerantut.
Katanya, ketika pertempuran bersama 10 anggota lain, peluru melintasi beberapa inci di atas kepalanya, pertempuran itu berlaku di dalam gelap pada jam kira-kira 9.30 malam.
“Ketika itu, pasukan diketuai oleh Allahyarham Pawang Nong dan di bawah incaj Wan Deraman dan berjaya membunuh seorang komunis dalam pertempuran yang berlarutan hampir sejam, akhirnya seorang pengganas ditembak mati dan mencederakan yang lain.
“Mayat komunis ditempatkan di padang Sekolah Kebangsaan Kuala Tembeling sebelum dibawa ke Jerantut, Ke Bawah Duli Sultan Pahang tiba ke Kuala Tembeling dan menyaksikan kejayaan pasukan homeguard, saya diundang ke Pekan dan menerima Anugerah Keberanian Termuda oleh pihak istana, “ katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Beliau yang tinggal bersama keluarganya di Kampung Seberang Tanjung Buluh, menjadi homeguard pada 1940 hingga 1959, turut diberi tugas bawa bot angkut polis dan penduduk bandar Kuala Lipis ke Kuala Medang semasa darurat
Kamaruddin masih menyimpan enjin bot lama berkuasa 2 kuda yang digunakan berulang alik dari Kuala Lipis ke Kuala Medang dan Kuala Lipis ke Kuala Tembeling bagi tujuan pengangkutan zaman darurat. Beliau turut digelar Raja Sungai Jelai kerana pengalamannya mengemudi bot.
Enjin bot lama dianggarkan berusia 60 tahun dan enjin terpakai itu dibeli dengan harga RM200. Selain itu keadaan usia yang menjangkau usia 82, beliau masih mempunyai kudrat dan boleh mengangkat tong gas dan peralatan binaan rumah.
Katanya, generasi muda perlu menghayati perjuangan nenek moyang dahulu bagaimana perit dan susahnya dengan kemudahan yang terhad untuk menjaga negara.
“Kami berkhidmat tanpa ‘belanja’ atau gaji tapi demi tanah air sanggup menggadai nyawa mempertahankan negara dengan kehidupan yang susah di kampung pada waktu itu,” katanya.
“Diharap generasi muda bekerja dengan ikhlas dan taat kepada kerajaan, manakala perlu mempertahankan kedaulatan raja-raja agar tidak dipersendakan,”katanya.
Sementara itu, pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dengan insiatif Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Nor telah membina sebuah rumah secara gotong royong dianggarkan berharga RM80,000 sejak awal tahun ini dan sudah boleh diduduki.- SAHIH.