ISMAIL SABRI YAAKOB CALON PM
ISMAIL SABRI YAAKOB CALON PM
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) secara konsensus sebulat suara menyokong untuk menamakan seorang calon Perdana Menteri sahaja dari UMNO untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, esok.
Perkara itu dinyatakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin ketika ditemui media sebentar tadi.
“Calon dipilih itu bersih dan diterima rakyat dan calon tersebut dicadang pengerusi BN,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Ahli Parlimen BN di Menara Dato’ Onn malam ini.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama calon tersebut, sebaliknya menyerahkan kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menjelaskannya.
“Calon tu kena tanya Presiden, yang penting calon dari UMNO yang bersih, sebulat suara kita setuju. Kita beri kepercayaan kepada Presiden untuk memaklumkan nama calon, dan calon dicadangkan ialah yang diterima rakyat,” katanya.
Namun, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman secara jelas mendedahkan calon yang dipilih BN adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Yes (Ismail),” katanya ringkas bagi menjawab soalan media yang bertanya adakah calon yang dimaksudkan itu Ismail Sabri, lapor Utusan Online
Menyokong kenyataan Tajuddin, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said turut mengesahkan calon Perdana Menteri tunggal yang dipilih BN adalah Ismail Sabri.
“Ya, secara teknikalnya beliau adalah pemimpin tertinggi selepas Presiden dan merupakan Pengerusi BNBBC, sebelum ini dia juga adalah seorang Timbalan Perdana Menteri. Daripada itu, beliau dilihat calon yang lebih layak pada kita.
“Jadi kita harapkan yang terbaik,” katanya.