MAYAT BERPAKAIAN PENYELAM DITEMUI DI SUNGAI BESAR
MAYAT BERPAKAIAN PENYELAM DITEMUI DI SUNGAI BESAR
SHAH ALAM: Mayat seorang lelaki lengkap berpakaian penyelam berserta balang oksigen ditemui terapung oleh nelayan tempatan di kira-kira 8.7 batu nautika barat daya Sungai Besar petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor Mohd Rosli Kassim berkata, mayat itu ditemui kira-kira pukul 3 petang, sebelum nelayan terbabit menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memaklumkan penemuan tersebut, lapor Bernama.
Katanya pasukan mencari dan menyelamat APPM berserta bot Pasukan Polis Marin bertindak ke lokasi kejadian bagi mengesan mayat berkenaan dan ditemui terapung sekitar jam 6 petang.
“Pasukan Polis Marin telah membawa mayat ke jeti Nelayan Sungai Besar pada jam 9 malam sebelum dihantar ke Hospital Sabak Bernam untuk proses pengecaman,” katanya.
Mohd Rosli berkata, penemuan mayat berkenaan mempunyai kaitan dengan insiden kehilangan seorang penyelam di perairan Sungai Besar pada 3 Ogos lalu.
Dalam kejadian itu, seorang penyelam Calvin Patrick Lazaroo, 27, dipercayai melakukan selaman bersama tiga rakan yang lain bagi tujuan mengikat tali pada bot karam sebelum mangsa hilang lebih kurang jam 10.30 pagi dan tidak timbul ke permukaan air di perairan Sungai Besar, Selangor.
Pencarian telah dilakukan di sekitar perairan Sungai Besar melibatkan dua aset APMM, satu aset dari Tentera Laut Diraja Malaysia, dua aset dari Pasukan Polis Marin serta komuniti nelayan, manakala pencarian melalui udara dilakukan oleh pesawat dari APMM dan polis.