ANGGOTA BOMBA PERTAMA DI NS MAUT AKIBAT COVID-19
ANGGOTA BOMBA PERTAMA DI NS MAUT AKIBAT COVID-19
SEREMBAN – Seorang anggota bomba dari Balai Bomba Seremban 2 dekat sini dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19 pada pukul 10.30 malam semalam.
Mendiang, K. Pragas, 49, meninggal dunia di Hospital Tampin selepas dimasukkan ke hospital berkenaan pada 1 Ogos lalu.
Ketua Balai Bomba Seremban 2, Mohd. Asree Abd. Hamid berkata, mendiang dikesan positif Covid-19 pada 21 Julai selepas dia bersama ahli keluarga termasuk anak dan isteri
membuat ujian saringan pada 19 Julai lalu dan telah menjalani kuarantin kendiri di rumahnya di Rantau.
“Bagaimanapun, malam tadi saya mendapat makluman mengenai kematian mendiang apabila dihubungi adiknya pada pukul 1.45 pagi,” katanya hari ini.
Mendiang yang sudah berkhidmat selama 26 tahun merupakan pemandu motosikal dan jentera yang berkhidmat di Unit Bermotor Bomba (Rapid Intervension Motorcycle) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan.
Menurut beliau, mendiang meninggalkan isteri dan tiga anak berusia bawah 12 tahun.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya amat sedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang, lapor KOSMO online
Menurut Ahmad Mukhlis, ini merupakan kes pertama kematian akibat Covid-19 melibatkan anggota bomba di negeri ini.