BIMBANG HANTAR ANAK KE SEKOLAH
Berita Nasional
BIMBANG HANTAR ANAK KE SEKOLAH
KEPALA BATAS: Rata-rata ibu bapa dan penjaga kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus, Penaga, di sini, masih sangsi dan ragu-ragu untuk menghantar anak ke sekolah esok.
Mereka khuatir kerana Isnin ini belum mencapai tempoh 14 hari inkubasi virus COVID-19 selepas seorang guru wanita sekolah itu disahkan positif jangkitan berkenaan pada Khamis minggu lalu.
Selepas seminggu ditutup, sekolah itu akan mula beroperasi esok, namun hanya untuk murid Tahun Tiga hingga Enam, manakala Tahun Satu dan Dua masih perlu kuarantin seperti dimaklumkan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad.
SK Permatang Janggus diarah tutup lapan hari bermula 1 Oktober lalu selepas seorang guru wanita disahkan positif COVID-19.
Difahamkan guru itu isteri seorang ahli politik di Kedah yang berkempen di Sabah ketika Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.
Peniaga, Hasimi Ayu Hashim, 45, berkata dia bimbang untuk menghantar dua anak kembarnya ke sekolah esok kerana belum tahu sepenuhnya keputusan ujian saringan COVID-19, sama ada sudah bebas daripada jangkitan atau sebaliknya.
“Kedua-dua anak saya adalah murid Tahun Empat. Dalam hati saya, masih terdetik rasa bimbang kerana sepatutnya tempoh untuk pastikan keadaan benar-benar selamat adalah 14 hari.
“Apatah lagi kita belum tahu sepenuhnya sama ada keputusan ujian saringan yang dilakukan semua negatif atau tidak. Jadi, saya fikir tidak akan hantar anak ke sekolah buat masa ini, sebaliknya tunggu keadaan seterusnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Katanya, sepanjang tempoh dua anaknya tidak bersekolah, dia langsung tidak membawa mereka berdua keluar dan akan kekal dengan keputusan itu bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.
“Pengurusan sekolah juga sentiasa memberi maklumat dari semasa ke semasa mengenai situasi terkini melalui kumpulan Whatsapp yang diwujudkan,” katanya.
Bagi Shahrom Hassan, 64, dia mengesyorkan dua cucunya tidak dihantar ke sekolah buat masa ini, sebaliknya menunggu sehingga cukup tempoh 14 hari selepas proses ujian saringan dibuat.
“Untuk cucu saya yang belajar di Tahun Dua, dia masih perlu kuarantin, namun cucu Tahun Lima perlu ke sekolah esok. Sepatutnya, cucu di Tahun Lima itu pun juga perlu duduk di rumah sehingga tempoh kuarantin adiknya habis.
“Saya harap pihak pengurusan sekolah dan guru faham dengan situasi yang dialami ibu bapa serta penjaga. Kami bukan sengaja tidak mahu hantar anak-anak, tetapi mahu berjaga-jaga,” katanya.
Tinjauan pagi tadi mendapati keadaan sekolah itu lengang dan sunyi, tidak kelihatan sebarang persiapan dibuat, khususnya bagi memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) sebelum sekolah dibuka semula esok.
Keadaan persekitaran kampung pula mula bertukar sibuk tetapi masih dalam keadaan berjaga-jaga dengan penduduk keluar untuk urusan penting sahaja.
Sumber: BH Online