UMAT ISLAM MENINGGAL DUNIA AKIBAT COVID-19 TIDAK DIMANDIKAN BAGI ELAK JANGKITAN
UMAT ISLAM MENINGGAL DUNIA AKIBAT COVID-19 TIDAK DIMANDIKAN BAGI ELAK JANGKITAN
PUTRAJAYA: Jenazah umat Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak perlu dimandikan kerana dibimbangi wabak terus tersebar dan menjangkiti orang lain.
Perkara itu dijelaskan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi artikel Irshad Al-Fatwa Siri Ke-600: Adakah mereka yang meninggal kerana Covid-19 boleh diklasifikasikan mati syahid dan tidak perlu dimandikan, yang dikeluarkan hari ini di laman web PMWP.
Menurut PMWP, jenazah tidak dimandikan atas faktor keselamatan selain mengelak daripada kemudaratan berikutan ada kebimbangan wabak Covid-19 terus tersebar.
“Ini bermakna jenazah tersebut tidak dimandikan bukan di atas sebab syahid berperang di jalan Allah akan tetapi disebabkan kemudaratan yang perlu dihindari.
“Bagaimanapun, ia juga tertakluk kepada perkembangan semasa situasi Covid-19 di negara ini yang mana pihak-pihak berkaitan akan meneliti dari semasa ke semasa prosedur operasi standard (SOP) pengurusan jenazah,” katanya.
Menurut artikel itu, orang Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19 dikategorikan sebagai syahid di akhirat dan ganjaran tersebut akan diberikan di akhirat kelak.
“Bagaimanapun, dalam fiqh ada dibincangkan oleh fuqaha bahawa mana-mana jenazah atas sebab-sebab tertentu yang boleh membawa mudarat kepada orang hidup maka tidak perlu dimandikan tetapi ditayamumkan, lapor Utusan Online
“Dan jika tayammum pun tidak dapat dilaksanakan pada pandangan pakar, maka gugurlah kedua-dua tuntutan itu,” katanya.
Katanya, ada hadis menjelaskan bahawa individu Muslim yang meninggal disebabkan taun (wabak) dikategorikan sebagai mati syahid kerana azab yang dahsyat ketika menghadapi kesakitan dan kematian tersebut.
“Secara umum, taun dikategorikan sebagai wabak atau penyakit berjangkit bahkan kesannya boleh menyebabkan kematian yang sangat cepat.
“Oleh itu, wabak Covid-19 juga boleh diklasifikasikan di dalam kategori wabak seperti taun sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis Nabi SAW,” katanya.