KERAJAAN NEGERI BERUSAHA SELESAIKAN KEMELUT BEKALAN AIR KE FELDA SUNGAI RETANG SEGERA
KERAJAAN NEGERI BERUSAHA SELESAIKAN KEMELUT BEKALAN AIR KE FELDA SUNGAI RETANG SEGERA
JERANTUT: Penduduk Felda Sungai Retang dan kawasan sekitar yang sering mengalami gangguan bekalan air diminta bersabar dengan masalah yang melanda mereka selama ini sementara pihak kerajaan berusaha menyelesaikan masalah yang sering berulang itu.
Kerajaan negeri menjalankan perbincangan bersama pihak Pengurusan Air Pahang (PAIP) bagi menyelesaikan isu air yang melibatkan kawasan sekitar Felda Sungai Retang di Jerantut.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, pihak kerajaan negeri memandang serius masalahan terbabit khususnya berkaitan kebajikan masyarakat setempat.
“Satu perbincangan telah dibuat bersama pihak PAIP dan perkara ini akan dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.
“Diharap setempat dan kawasan sekitarnya dapat bersabar dengan masalah bekalan air yang kerap terputus, kerajaan amat prihatin dengan situasi ini dan akan berusaha dengan segera untuk menyelesaikan kemelut ini,” katanya.
Semalam, Datuk Nazri melawat ke Loji Air Seberang Tembeling Kg Air Hitam / Pasir Sia yang mengalami masalah air bersama Ketua Eksekutif PAIP, Saiful Zaini Mohd Bokhari, Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris, Pengurus PAIP Daerah Jerantut dan pemimpin setempat.
Pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang ke-14 pada tahun lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah memperuntukkan RM200,000 bagi memasang pam galak di Loji Rawatan Air (LRA) Seberang Tembeling bagi mengepam air ke kawasan sekitar.

“Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengambil berat berhubung permasalahan air yang dialami penduduk di kawasan Felda Sungai Retang, Jerantut.
Sebelum ini, penduduk Felda Sungai Retang mengambil inisiatif membersihkan muka sauk loji itu yang dipenuhi lumpur.– SAHIH.