PAHANG TAWAR RUMAH UNTUK LAPAN BERADIK YANG KEHILANGAN IBU DAN BAPA AKIBAT COVID-19
PAHANG TAWAR RUMAH UNTUK LAPAN BERADIK YANG KEHILANGAN IBU DAN BAPA AKIBAT COVID-19
KUANTAN: Kerajaan Pahang menawarkan Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 sebuah, untuk didiami secara percuma oleh lapan beradik yang kematian ibubapa mereka akibat wabak pandemik COVID-19.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tapak rumah RRP yang dicadangkan itu akan dibina di kampung asal allahyarham ibunya , serta datuk dan nenek mereka di Rancangan Tanah Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut.

Katanya, sementara menunggu rumah itu siap, rumah sewa sementara akan juga disediakan dan dibiayai oleh kerajaan negeri.
“Saya turut bersedih dan bersimpati dengan nasib kelapan-lapan beradik ini, yang sulung, Cik Nazurah Nabilah Benyajeed baru berusia 19 tahun manakala adik-adiknya berusia empat hingga 18 tahun, kini tinggal menyewa bersama-sama ibu saudara mereka di Rawang, Selangor.
“Demi melihat mereka kekal tinggal serumah bersama-sama ibu saudara mereka itu, kerajaan negeri membuat tawaran RRP ini manakala ibu saudara mereka akan diberikan elaun bulanan sewajarnya.
Katanya, selain itu, Yayasan Pahang (YP) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan membiayai pendidikan mereka yang masih bersekolah manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang sedia menyenaraikan mereka sebagai penerima bantuan bulanannya.

“Pegawai pejabat saya telah pun menghubungi Cik Nazurah dan saya berharap, tawaran ini akan diterima,” katanya.
Katanya, bapa lapan beradik itu meninggal dunia pada 16 Julai dan ibunya menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 18 Julai akibat wabak Covid-19.
Sebilangan besar adik-adik Nabilah masih bersekolah, kecuali adik bongsunya yang berusia empat tahun, Nabilah sendiri merupakan pelajar di Kolej Politeknik Mersing di Johor.-SAHIH.