KARIAH TAMAN PELANGI PATUH SOP, ORANG ASING DEGIL
KARIAH TAMAN PELANGI PATUH SOP, ORANG ASING DEGIL
PETALING JAYA: Pihak kariah Taman Pelangi, Juru didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi solat sunat Aidiladha, kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Menurutnya, pengerusi kariah juga telah memberi dua kali peringatan berkenaan SOP terkini yang dikeluarkan, iaitu pada malam sebelumnya, dan sebelum solat sunat berjemaah ditunaikan.
“Setelah diteliti, pihak kariah mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan, iaitu hanya 100 orang jemaah yang terdiri daripada warganegara dan pemastautin tetap yang telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin dibenarkan untuk menunaikan solat Aidiladha pada pagi Selasa lalu.
“Pengerusi kariah juga telah menekankan bahawa warga asing tidak dibenarkan untuk menunaikan solat Aidiladha,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, kata Zakiyuddin, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), kumpulan warga asing itu masih berdegil dengan terus menghampar sejadah di luar kawasan surau untuk turut sama mengikuti solat Aidiladha yang sedang berlangsung.
“Ia jelas di luar kawalan pihak kariah kerana pihak jawatankuasa kariah telah pun mengunci pagar surau dan tidak membenarkan sesiapa pun masuk sejurus sebelum solat dimulakan,” katanya.
Beliau berkata, insiden itu diharapkan menjadi peringatan kepada semua, khususnya pihak pentadbiran masjid dan surau di Pulau Pinang untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak polis atas tindakan susulan penguatkuasaan undang-undang dengan pantas mengenal pasti dan menahan individu-individu yang sewenang-wenangnya melanggar SOP ini.”
Pada Selasa, video sekumpulan lelaki yang menunaikan solat di kawasan tempat letak kereta sehingga ke tepi jalan raya di kawasan perumahan berkenaan bermula 8.30 hingga 9 pagi tular di media sosial.
Susulan penularan video berkenaan, seramai 48 warga asing, berusia 20 hingga 43 tahun, dan seorang lelaki tempatan berusia 64 tahun direman bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melanggar SOP dalam kejadian itu , lapor FMT.