RELA PATAH KAKI DIREMPUH MOTOSIKAL
RELA PATAH KAKI DIREMPUH MOTOSIKAL
KUCHING: Seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA) patah kaki kiri selepas dirempuh motosikal ditunggang seorang remaja yang melanggar sekatan jalan raya (SJR) di Batu 16 Jalan Kuching-Serian, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan, berkata dalam kejadian jam 8.15 malam itu mangsa berusia 21 tahun yang bertugas dalam SJR Op COVID-19 sedang melakukan pemeriksaan rutin.
“Ketika sedang melakukan pemeriksaan, tiga motosikal ditunggang tiga remaja datang dengan satu daripadanya secara tiba-tiba memecut laju dan cuba merempuh sekatan sehingga melanggar mangsa.
“Akibat rempuhan itu, anggota RELA terbabit terjatuh dan patah kaki kiri, manakala remaja lelaki berusia 15 tahun yang melanggar mangsa juga terjatuh,” katanya.
GAMBAR HIASAN
Aidil berkata, remaja itu yang cedera di siku dan lutut kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut selepas diberikan rawatan.
“Anggota RELA itu dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil, lapor BH ONLINE.
“Suspek disiasat mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu secara melulu,” katanya.