PROGRAM MOVAK BANTU PENGAMAL MEDIA, PENDUDUK TERIMA VAKSIN LEBIH CEPAT
PROGRAM MOVAK BANTU PENGAMAL MEDIA, PENDUDUK TERIMA VAKSIN LEBIH CEPAT
MARAN: Pelancaran Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) berjaya mempercepatkan proses vaksinasi penduduk luar bandar dan pengamal media di Pahang.
Inisiatif MOVAK melalui kerjasama pintar antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Perpaduan Negara itu juga dapat membantu pengusaha bas yang kehilangan punca pendapatan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib berkata, melalui program MOVAK itu juga, petugas dari Kementerian berkenaan dapat turun padang dan melihat sendiri situasi di kawasan luar bandar serta merangka pendekatan bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan lebih cepat.
“Sudah tentu program seperti ini sangat membantu memudahkan orang ramai, terutamanya penduduk luar bandar yang mempunyai masalah seperti pengangkutan untuk ke tempat pemberian vaksin”
Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib
..
“Jadi, apabila ada bas MOVAK yang sudah diubah suai ini, mudahlah untuk kita memberikan vaksin kepada lebih ramai penduduk di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke pusat pemberian vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Kuala Wau, dekat sini, hari ini.
Beliau turut melancarkan program MOVAK di klinik berkenaan.
Seramai 400 penduduk sekitar Kampung Kuala Wau dan kawasan sekitar menerima dos pertama vaksin mereka hari ini.
Turut menerima vaksin jenis Sinovac di PPV berkenaan ialah 11 pengamal media negeri Pahang.
Ismail turut berterima kasih kepada semua pengamal media yang tetap menjalankan tugad mereka, walaupun belum menerima suntikan vaksin sebelum ini.
“Saya harap selepas ini, mereka (pengamal media) lebih yakin untuk meneruskan tugas dengan komited dan sepatutnya mereka menerima lebih awal (vaksin) kerana tugas sebagai media juga adalah seperti frontliner yang lain,” katanya. – SAHIH