MADU TIDAK MENDAPAT PERHATIAN KETIKA PKP
MADU TIDAK MENDAPAT PERHATIAN KETIKA PKP
JERANTUT : Selain berlaku lambakan durian dan ikan sangkar, manisan madu yang dihasilkan oleh serangga lebah yang bersarang di puncak pohon Tualang (Koompassia excelsa) turut tidak dapat dipasarkan seperti sebelum ini.
Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kebanyakan penjual madu lebah turut mengeluh kerana manisan itu tidak laku di pasaran.
Seorang penjual madu, di Hulu Tembeling, Jerantut, Masri Muhamad, 38, dalam tempoh PKP ini cukup sukar untuk mendapatkan pelanggan.
“Sejak penguatkuasaan PKP awal tahun ini malahan sebelum ini pun, saya tidak mampu membawa keluar madu lebah Tualang memasarkan di bandar Jerantut atau luar daerah lantaran larangan sekatan rentas ke luar lagipun jarak kampung ini agak jauh ke bandar.
“Sebelum ini, madu lebah Tualang amat laris walaupun agak mahal kerana manisan yang dihasilkan oleh lebah liar hutan tarikan Taman Negara dan Hulu Tembeling cukup berkualiti serta sangat popular dalam kalangan orang luar untuk tujuan makanan kesihatan dan perubatan,” katanya di Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling, dekat sini hari ini.
Katanya, sebelum penguatkuasaan PKP sejak tahun lalu madu lebah Tualang memang mampu terjual dalam kalangan pengunjung luar daerah dan negeri lain yang datang ke pusat peranginan Kampung Kuala Sat yang membeli untuk dijadikan buah tangan untuk dibawa pulang ke rumah.
“Ketika ini ketiadaan pengunjung ke kampung ini, madu lebah ini tersimpan dalam almari kerana tidak laku dipasarkan keluar, selain itu penduduk di sini merupakan pencari manisan ini di pokok Tualang yang banyak terdapat di hutan tropika berdekatan kampung ini,” katanya.
“Sekiranya, ada orang luar yang membuat tempahan secara penghantaran dan bayar (COD) pun tidak berbaloi kerana saya terpaksa ke bandar Jerantut yang terletak 100 kilometer dengan kampung ini untuk membuat pos ekpress melibatkan banyak belanja termasuk tambang bot penambang,” katanya.
Kata bapa kepada empat orang anak itu berkata, tugas mencari madu lebah di puncak Tualang setinggi antara 70 hingga 80 meter bukanlah satu kerja mudah malah terpaksa mempunyai risiko memanjat pohon tinggi itu untuk mengambil madu di sarang memakan masa hampir lima jam.
Masri yang juga antara pengusaha bot penambang di pusat peranginan Kampung Kuala Sat berkata, kebiasaannya dia menemui antara dua hingga tiga sarang labah di sebatang pokok Tualang dan memperolehi manisan dalam anggaran seberat kira-kira 30 kilogram.
“Kerja ini dilakukan pada waktu malam dengan dibantu beberapa orang rakan, sudah menjadi kelaziman penduduk di sini demi untuk memperoleh rezeki hidup di pedalaman kampung Hulu Tembeling.
“Saya memproses manisan ini dengan cermat dengan diisi ke dalam botol untuk dijual dengan harga RM100 seberat 450 gram,”katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan madu lebah asli Tualang Hulu Tembeling boleh menghubungi Masri Muhamad menerusi talian 019-203 5972.-SAHIH.