1,000 KILOGRAM IKAN SANGKAR JERANTUT TIDAK BOLEH DIPASARKAN
1,000 KILOGRAM IKAN SANGKAR JERANTUT TIDAK BOLEH DIPASARKAN
PKPD DAN PKP- IKAN TIDAK DAPAT DIPASARKAN SEPERTI BIASA
JERANTUT: Kira-kira 1,000 kilogram ikan sangkar yang diusahakan oleh kira-kira 20 penternak di Jerantut gagal dipasarkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang dilaksanakan di sekitar bandar Jerantut yang bakal tamat pada 11 Julai ini.
Penternak ikan sangkar yang terletak di sepanjang Sungai Pahang berdekatan Kampung Lada, Kg Perias, Kg Pulau Mansuk dan Kg Jerantut Feri sukar memasarkannya kerana tidak dapat menghantar bekalan ke sekitar bandar Jerantut.
Seorang penternak, Muhammad Nasir Zulkilfi, (42) berkata, selalunya ikan sangkar dapat dipasarkan keluar daerah seperti bandar Kuala Lipis, Temerloh malah ada peraih dari Kuantan yang datang mengambil ikan.
“Oleh kerana keadaan semasa pada masa ini, peraih dan pengangkutan untuk menghantar sukar didapati, pasaran ikan perlahan malah ada tidak dijual termasuk peniaga ikan sangkar di tepi jalan yang ada di sini sejak PKPD dikenakan turut tidak dapat beroperasi.
“Ini membuat penternak risau akan mengalami kerugian kerana pada masa ini ikan kami sudah cukup masa untuk dijual seberat anggaran 1.5kg sehingga 1.8kg,”katanya.
Katanya, andai tidak dapat dipasarkan dengan segera, mereka akan terus memberi makanan kepada ikan tersebut dan akan melebihi had berat yang mungkin menjatuhkan harga ikan itu.
Seorang penternak, Muhammad Bakri (32) berkata, sebelum ini, setiap hari penternak di sini berpakat untuk mengeluar dan memasarkan ikan kira-kira 1 ton sehari mengikut giliran penternak.
“Kami membuat penggiliran menjual ikan hanya 1 ton sehari, oleh itu setiap penternak akan menjual selang 3 hingga 4 hari sekali, ini memberi peluang semua ikan penternak di sini dapat dijual.
“Setiap sangkar ikan yang sudah sampai masa untuk dijualperlu dihabiskan dalam tempoh hampir sebulan sebelum memasukkan benih baharu,”katanya.
Katanya, oleh kerana ikan sangkar tidak dapat dipasarkan, penternak memberi makan sekali sehari, selalunya dua kali sehari untuk menjimatkan kos membeli makanan ikan.-SAHIH.