INDIVIDU BERATUR DALAM VIDEO TULAR DISAHKAN POSITIF COVID -19
INDIVIDU BERATUR DALAM VIDEO TULAR DISAHKAN POSITIF COVID -19
SHAH ALAM: Dianggarkan lebih 1,000 individu yang disahkan positif COVID-19 beratur sepanjang kira-kira 500 meter di laluan pejalan kaki untuk memasuki Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Stadium Malawati, Seksyen 13, di sini, bermula sejak pagi hingga petang tadi.
Sejak tengah hari tadi, video berdurasi 52 saat yang memaparkan sejumlah besar individu beratur panjang sehingga ke persimpangan sebuah pasar raya besar itu tular di media sosial.
Pengurus Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM) yang juga koordinator bagi kemudahan fasiliti diperlukan CAC, Ahmad Sayuti Bashiron, berkata pertambahan kehadiran harian itu berlaku sejak dua hingga tiga minggu kebelakangan ini.
“Semua yang beratur sehingga ke simpang sebuah pasar raya besar di Seksyen 13 itu disahkan positif COVID-19 dan ini kali pertama mereka ke Stadium Malawati untuk tujuan penilaian daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebaik saja disahkan positif COVID-19.
“Kehadiran hari ini dijangka antara jumlah paling tinggi dalam operasi CAC sejak Februari lalu, tetapi jumlah tepat hanya KKM saja boleh sahkan.
“Sebagai koordinator mewakili Stadium Shah Alam, saya hanya boleh mengesahkan video tular sejak pagi tadi, inilah gambaran suasana berlaku mutakhir ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ahmad Sayuti berkata, sebagaimana video yang tular itu, mereka semua mula datang ke CAC berkenaan seawal jam 6.30 pagi.
“Sebelum ini, mereka datang seawal jam 5 pagi, tetapi mutakhir ini mereka datang dan mula beratur pada jam 6.30 pagi hingga jam 3 petang terutama yang datang menaiki bas daripada kilang dan sebagainya.
“Apa yang dilihat dalam video itu adalah situasi sebenar di sini, jumlah warga asing yang datang memang mendadak dan kebanyakannya dari kilang sejak kebelakangan ini.
“Semua yang datang adalah di bawah kawal selia Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling saja,” katanya yang turut bertugas sebagai sukarelawan di lokasi berkenaan setiap hari.