JUMPA MAYAT REPUT BERHAMPIRAN KEBUN
JUMPA MAYAT REPUT BERHAMPIRAN KEBUN
Pasir Puteh: Satu mayat reput dan berkecai yang belum diketahui jantina dijumpai oleh penduduk kampung berhampiran kebun di Bukit Yong, di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, berdasarkan laporan, penduduk terhidu bau busuk ketika melalui jalan ke kebun di lokasi tersebut sebelum bertindak mencari punca bau itu lalu terjumpa mayat yang sudah reput dan berkecai kira-kira 6.30 petang.
“Susulan penemuan itu satu laporan polis telah dibuat sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Bukit Yong bergegas ke lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ketika ditanya mengenai dakwaan yang tular mengatakan mayat tersebut dikerat lapan, Abdullah berkata, perkara tersebut belum dapat disahkan dan pihaknya masih menjalankan siasatan.
“Apa yang kita tahu mayat sudah reput dan kemungkinan dimakan oleh haiwan liar. Sehingga kini sepasukan anggota daripada Bahagian Forensik masih menjalankan siasatan di tempat penemuan mayat itu, lapor Bernama.
“Segala maklumat akan dimaklumkan kemudian termasuk status mayat dan jantina,” katanya dan menambah polis juga tidak menerima sebarang laporan orang hilang di kawasan berkenaan, setakat ini.