ORANG ASLI: 2,705 SUDAH DIVAKSIN, 15,161 SETUJU DISUNTIK
ORANG ASLI: 2,705 SUDAH DIVAKSIN, 15,161 SETUJU DISUNTIK
LIPIS: Seramai 1,393 Orang Asli telah menerima suntikan vaksin dos pertama dan 1,312 lagi menerima suntikan dos kedua, manakala 15,161 orang bersedia untuk diberi suntikan vaksin daripada 78,774 borang yang telah diedarkan ke seluruh negara.
Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, borang tersebut telah diedarkan kepada Orang Asli di Pahang, Perak, Kelantan, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya, borang pendaftaran yang telah diterima semula sebanyak 39,174; manakala borang yang telah diterima menyatakan tidak setuju untuk divaksin sebanyak 25,215.
“Saya yakin, penerangan yang jelas kepada suku kaum ini bakal memberi keyakinan yang tinggi kepada mereka untuk menerima suntikan vaksin sebagai langkah terbaik untuk menyekat penularan wabak pandemik ini.
“Kita tidak mahu sekiranya seluruh rakyat di negara bakal menerima suntikan vaksin menjelang Ogos ini seperti dimaklumkan oleh menteri berkaitan, terdapat yang enggan diberi suntikan, ini tidak menyelesaikan masalah penularan wabak,” katanya di Majlis Penyerahan Bakul Makanan di Kampung Orang Asli di Kampung Tiat, Cameron Highlands, hari ini.
Katanya, kerajaan negeri dan Menteri Besar Pahang, mengambil pendekatan untuk menyewa helikopter dan membawa vaksin ke kawasan perkampungan untuk mempercepatkan pemberian suntikan di perkampungan Orang Asli.
“Kos menyewa helikopter dengan kos vaksin tidak banyak bezanya kerana dengan menggunakan pengangkutan seperti ini, kita boleh membuat suntikan vaksinasi dengan cepat di banyak tempat dengan segera.
“Selain itu, diharapkan peranan Tok Batin untuk menyampaikan penerangan kepada anak buah masing-masing kebaikan dan keperluan vaksinasi. Walaupun vaksin tidak wajib tetapi kerajaan hanya mampu memberi nasihat untuk divaksin,” katanya kepada media.
Katanya, diharap media turut memberi penerangan dan penjelasan kepada rakyat untuk menerima vaksin serta menangkis maklumat yang diberikan oleh golongan yang anti-vaksin.
“Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) perlu memberi penerangan yang jelas kepada masyarakat Orang Asli untuk menerima vaksin. Sebanyak 39,174 borang sudah diterima, satu jumlah masih dianggap kecil daripada keseluruhan Orang Asli seramai 127,699,” katanya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Dato Md Nor, Timbalan Ketua Pengarah JAKOA. Zamri Mustajab, Pengarah JAKOA Pahang, Johari Alwi dan Batin Kampung Tiat, Batin Ramli.
Sementara itu, sebanyak 35 Ketua Isi Rumah (KIR) di Kampung Tiat, Cameron Highlands menerima bakul makanan bernilai RM200.
Katanya, kerajaan melalui kementeriannya memperuntukan sebanyak RM12 juta untuk bantuan bakul makanan kepada penduduk Orang Asli dan penyerahan bakul tersebut dijangka selesai pada 9 Jun ini.-SAHIH.