DIKOMPAUN BERI ALASAN RENTAS NEGERI BELI MAKANAN KUCING
DIKOMPAUN BERI ALASAN RENTAS NEGERI BELI MAKANAN KUCING
JEMPOL – Empat individu dari Felda Palong Timur (Johor) dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 selepas dikesan tidak memiliki surat kebenaran merentas negeri dalam satu pemeriksaan oleh pasukan petugas pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di kawasan sempadan Negeri Sembilan dan Johor, dekat sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, antara alasan yang diberikan oleh individu terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan berusia lingkungan 30-an hingga 60-an itu untuk ke Palong 4,5 dan 6 antaranya adalah untuk membeli makanan dan pasir kucing, membeli baja dan sebagainya.
Menurutnya, kesemuanya yang menaiki kenderaan berasingan dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 berkenaan dalam satu operasi di lokasi pemeriksaan berkenaan sekitar pukul 1.35 petang.
“Kompaun turut dikeluarkan kepada tiga lelaki yang merupakan rakan karib yang dikesan menaiki kenderaan melebihi kapasiti yang dibenarkan semasa pasukan Petugas Pematuhan SOP PKP melakukan rondaan rutin di Taman Perumahan di Taman Desa Puteri.
“Mereka yang ditahan ini berusia lingkungan 17 hingga 22 tahun dalam perjalanan dari arah taman menuju ke Bahau untuk bersiar-siar. Kesemuanya dikompaun sebanyak RM2,000 bagi kesalahan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, tadi.
Chang Hook berkata, pasukan Petugas Pematuhan SOP PKP juga telah melaksanakan operasi pematuhan di kawasan kilang dan premis perniagaan dari pukul 10 pagi hingga 6.30 petang.
Menurutnya, sebanyak lapan kompaun telah dikeluarkan membabitkan kesalahan gagal mendaftar masuk ke premis pekerjaan atau membuat catitan di buku pendaftaran serta tidak memakai pelitup muka dengan nilai kompaun keseluruhan sebanyak RM12,000, lapor KOSMO online.
“Secara keseluruhan sepanjang operasi siang tadi, sebanyak 20 kompaun telah dikeluarkan membabitkan nilaian kompaun individu sebanyak RM45,500. –